IPOH – Impian seorang ibu tunggal untuk tinggal di rumah selesa akhirnya menjadi kenyataan selepas menerima kunci kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Conolly di Jalan Pasir Puteh di sini, hari ini.

Rokiah Md Sapi, 50, berkata, ketika ini dia menyewa di Taman Pengkalan Jaya di sini dengan kadar sewa RM450 sebulan.

“Alhamdulilah, saya sangat gembira kerana permohonan untuk menyewa rumah PPR diluluskan. Saya tidak menyangka berjaya kerana menghantar borang pada bulan Julai tahun lalu.

“Kalau boleh saya nak berpindah segera kerana dengan sewa RM100 sebulan ia dapat mengurangkan beban kewangan kerana saya hanya bekerja sebagai tukang masak,” ujarya.

Seorang lagi penyewa, Mohd Azrul Azmi, 28, berkata, dia ketika ini tinggal menumpang di rumah keluarga mentua di Desa Pelancongan bersama isteri dan tiga anak yang masih kecil sejak enam tahun lalu.

Katanya, peluang untuk tinggal di kediaman lain memang menjadi hasrat dia sekeluarga tetapi tertangguh disebabkan kemampuan kewangan.

“Saya memohon unit PPR di sini pada tahun lalu dan bersyukur apabila permohonan diluluskan manakala prosesnya pula mudah.

“Dengan kadar sewa sebanyak RM100 ia tidaklah membebankan bagi saya yang berniaga ‘online’ (atas talian) secara kecil-kecilan manakala isteri pula suri rumah,” ujarnya.

Terdahulu, lima penyewa menerima surat tawaran dan replika kunci rumah yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad pada Majlis Gotong Royong Bersama Menteri Besar Perak di rumah pangsa itu pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamad Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.