IPOH – Pekerja-pekerja perkhidmatan penghantaran makanan di bandaraya ini tidak lagi berpanas apabila tujuh buah tempat rehat dan rawat rider (3R) akan dibina di lokasi-lokasi terpilih yang dikhususkan untuk mereka.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembinaan tempat 3R untuk kegunaan pekerja-pekerja perkhidmatan penghantaran makanan itu juga adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

Menurut beliau, inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu adalah untuk menyediakan satu ruang khusus yang selesa kepada petugas-petugas tersebut selain sebagai penghargaan terhadap peranan mereka sebagai pekerja barisan hadapan.

“Objektif projek ini adalah untuk memberi kemudahan tempat letak kenderaan, ruang rehat, tandas dan ruang solat kepada pekerja-pekerja perkhidmatan penghantaran makanan di sekitar bandaraya Ipoh.

“Pelaksanaan projek melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 ini akan memberi manfaat kepada lebih 1,600 pekerja dalam bidang berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, majlis pecah tanah pembinaan projek 3R pertama di pusat bandar berhadapan pasar raya Ipoh Parade telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Turut hadir Ahli-Ahli Majlis dan pegawai-pegawai kanan MBI.

Lokasi lain yang akan dibina ialah di Meru Raya (berhadapan McDonalds Meru Raya), Jelapang (berhadapan Old Town White Coffee Pusat Komersial Jelapang) dan Tasek (berhadapan Pizza Hut & KFC Pusat Perdagangan Tasek).

Tempat rehat sama juga akan dibina di Ipoh Garden di kawasan lapang berhampiran Tesco Ipoh Garden, Medan Gopeng (berhadapan McDonalds dan StarBucks Coffee) dan Station 18 (kawasan lapang tempat letak kereta berhampiran Tesco).

Mengulas lanjut kata Rumaizi, komponen projek tersebut melibatkan sebuah struktur binaan yang merangkumi tempat letak kenderaan, ruang rehat, tandas, ruang solat serta kiosk berkeluasan 50 meter persegi berkonsepkan bangunan hijau.

“Kos bagi setiap premis kira-kira RM70,000 manakala pembinaanya dijangka siap dalam tempoh dua bulan,” ujar beliau.