IPOH  - Seramai 300 warga Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menyertai program Sambutan Isra' dan Mikraj Peringkat MBI yang diadakan di hadapan Dewan Mesyuarat MBI pagi tadi.

Program sambutan dihadiri Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud, Ahli Majlis, pengarah kanan dan ketua-ketua jabatan MBI.

Sambutan dimulakan dengan bacaan doa dan tilawah Al-Quran yang dibacakan oleh qari jemputan iaitu Ustaz Radhi Kamarul Hailan dan seterusnya ucapan Ahli Majlis, Abu Bakar Hussain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam MBI.

Sementara itu, Rumaizi dalam ucapannya, menyeru warga MBI yang beragama Islam agar memperkasa agenda Islam  dalam pembangunan negara khususnya di bandaraya Ipoh.

Beliau juga turut mengingatkan kembali aku janji warga MBI beragama Islam agar memberikan komitmen yang tinggi dalam mentadbir dan memakmurkan Bandaraya Ipoh selari dengan tuntutan Al-Quran dan sunnah.

“Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya, mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman.

“Semoga sambutan Isra' dan Mikraj ini akan menjadi pemangkin dalam mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih 2023, Bandaraya Pintar dan Rendah Karbon 2030,” ujar beliau dalam ucapan tersebut.

Program sambutan kemudian diakhiri dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan gimik pelancaran Kempen Prihatin Solat.