Taiping- Para pencinta haiwan berpeluang menyertai Program Anak Angkat Zoo Taiping & Night Safari (PAAZTNS) dengan menaja samada haiwan ataupun kemudahan-kemudahan di dalam zoo.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata kesemua kos tajaan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembiayaan makanan, perubatan, program pengkayaan, penyelenggaraan atau pembinaan kandang pameran dan penyediaan kemudahan kepada pelawat serta program-program konservasi.

“Melalui program penajaan yang diperkenalkan sejak tahun 1994 ini, secara tidak langsung masyarakat berpeluang membantu serta menyokong usaha-usaha konservasi dan pemuliharaan hidupan liar.

“Pada akhir tahun 2020 dan sehingga kini, Majlis telah menerima beberapa peruntukan serta bantuan antaranya peruntukan sebanyak RM150,000 diterima dari kerajaan negeri Perak untuk tujuan memasang ‘Giant Fan’ dan menaiktaraf tandas awam di kawasan Zoo.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pula telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.282 juta dan ini meliputi Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM468,890.37 untuk bekalan makanan hidupan liar, perubatan dan disinfeksi serta RM 1.813 juta untuk menaiktaraf pameran haiwan zoo”, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beberapa syarikat dan agensi turut tampil memberikan bantuan berupa bantuan bekalan makanan untuk haiwan-haiwan di Zoo Taiping di sepanjang tempoh PKP dan PKPB iaitu Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemerikasaan Malaysia (MAQIS), Ayam Dinding dan Lotuss Stores.

Baru-baru ini MPT menyampaikan penghargaan kepada semua penyumbang termasuk Comfort Rubber Gloves Industries Sdn. Bhd. menaja dua ekor Orang Utan bernilai RM20,000; Teleflex Medical Sdn. Bhd. menaja Harimau Belang sebanyak RM20,000; Rocket Media Enterprise menaja Harimau Belang sebanyak RM12,000 dan Quest International University menyumbang RM 1,500.

Mereka yang berhasrat untuk menyumbang dalam program ini boleh menghubungi pihak Zoo Taiping & Night Safari.

End//