Bina tandas baru untuk warga emas - MBI Prihatin
- Details
- Komuniti
- Hits: 1620
IPOH - Kematian suami lebih lapan tahun lalu menyebabkan seorang warga emas tinggal bersendirian di rumahnya di Jalan Tampoi, Sungai Rokam di sini.
Fatimah Ismail, 75, sudah menetap di rumah pusaka peninggalan keluarganya sejak tahun 1963.
Tinjauan Peraktastic mendapati, struktur kayu di beberapa bahagian rumah berkenaan sudah reput, malah terdapat bahagian atap rumah yang bocor menyebabkan air hujan sering masuk ke dalam rumah.
Ditambah dengan masalah tandas yang terletak di luar menyebabkan Fatimah sering kali bimbang untuk keluar rumah menggunakan tandas terutamanya pada waktu malam.
Menyedari masalah tersebut, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui projek MBI Prihatin mengambil inisiatif membina tandas untuk keselesaan dan keselamatan ibu tunggal terbabit.
Ahli Majlis MBI (Zon 21), Abu Bakar Hussain ketika ditemui berkata, MBI memperuntukkan kira-kira RM2,000 untuk membina tandas baharu di rumah tersebut.
"Kami menyediakan bahan seperti simen, batu bata dan peralatan lain untuk pembinaan tandas tersebut.
"Seramai 10 orang anggota tentera dari 2 Skuadron Rejimen Askar (Jurutera) di-Raja, Taiping dan 2 Renjer, Ipoh bekerjasama dalam membantu untuk membina tandas itu.
"Pembinaannya bermula hari ini dan dijangka siap selewat-lewatnya esok bergantung pada keadaan cuaca," katanya ketika ditemui Peraktastic pagi ini.
Sementara itu, Fatimah mengucapkan terima kasih dan rasa bersyukur kerana masih ada pihak yang mengambil berat dengan masalah berkenaan.
"Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua yang sudi membantu untuk pembinaan tandas baru ini. Selepas ini saya tidak perlu takut untuk ke tandas terutamanya pada waktu malam," ujarnya.
Bekas pekerja kantin ini juga berharap ada pihak lain tampil untuk membantu memperbaiki kerosakan rumahnya.
"Saya tidak lagi bekerja atas faktor usia dan menampung kehidupan harian hanya dengan menggunakan wang bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM300 setiap bulan.
"Semoga ada pihak yang sudi tampil membantu membaik pulih masalah kerosakan rumah yang saya diami lebih 58 tahun ini," katanya.