Datuk Bandar Ipoh lancar Jom Solat Berjemaah
- Details
- Komuniti
- Hits: 1063
IPOH - Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @Md Daud melancarkan kempen Jom Solat Berjemaah pada sambutan Israk dan Mikraj yang diadakan di Masjid Raja Nazrin Shah (MRNS) di Kampung Rapat Jaya Tambahan, awal pagi tadi.
Majlis dimulakan dengan solat Subuh berjemaah diikuti kuliah Subuh dan ucapan daripada Rumaizi. 

Dalam ucapannya, beliau berkata, mendirikan solat juga memberi makna kita berusaha untuk menjadi mukmin yang berpegang kepada amanah dan menepati janji kepada ALLAH SWT.
"Fahami dan hayati sepenuhnya janji ikrar kita setiap kali mendirikan solat menerusi bacaan ayat dalam doa iftitah yang bermaksud, 'Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.'
"Solat juga sepatutnya meninggalkan impak positif dalam mendidik kita sentiasa fokus terhadap tugasan harian," katanya.

Pada program itu, Rumaizi turut merasmikan Tabung MRNS, kereta jenazah dan kolah masjid.
Selain itu, beliau turut melakukan acara menanam pokok di masjid berkenaan.

Hadir sama, Ahli Majlis MBI (Zon 21) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama MBI, Abu Bakar Hussain dan Pengerusi MRNS, Ahmad Ensar Ramli.
