IPOH 12 Mei - Sebanyak 40 keluarga di Taman Pengkalan Jaya di sini menerima sumbangan barang-barang keperluan harian bagi meringankan beban semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelmarin.

Sumbangan ini merupakan inisiatif Komuniti Belia Taman Pengkalan Jaya dengan kerjasama Pertubuhan Amal Ai Xin Fan Tong Ipoh.

Menurut penyelaras program, Afi Roshezry Abu Bakar, sumbangan diberi kepada keluarga yang dikategorikan sebagai layak untuk dibantu.

"Mereka yang dibantu terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum yang tinggal di kawasan perumahan ini.

"Sumbangan berupa beras, minyak masak, mi segera dan biskut ini diagihkan oleh 10 orang sukarelawan yang terlibat," katanya ketika ditemui.

Selain sumbangan barang-barang ini, sukarelawan Komuniti Belia Taman Pengkalan Jaya turut mengedarkan kira-kira 750 buku roti kepada semua penduduk di taman perumahan tersebut.

Jelas Afi Roshezry, edaran roti itu merupakan sumbangan kecil kepada penduduk dan pada masa sama dapat mengeratkan semangat kejiranan.

"Keseluruhan program sumbangan ini melibatkan jumlah sebanyak RM3,000 tidak termasuk sumbangan daripada orang perseorangan.

"Insyallah program sebegini akan kita teruskan lagi pada masa akan datang sebagai tanda cakna terhadap mereka yang memerlukan," ujarnya.