Yusman Ismail (bukan nama sebenar) membelek-belek helaian kertas yang diberi seorang wanita semasa dia melalui satu kiosk promosi menawarkan pinjaman wang ketika pulang dari pejabat.

Dalam fikiran Yusman, 29, dia sedang berkira-kira untuk memohon pinjaman berkenaan kerana baginya, jika ada lebihan wang bolehlah diguna sebagai persediaan menyambut hari raya nanti.

Malah, sejak minggu lalu isterinya mahu tahun ini mereka sekeluarga beraya dengan pakaian sedondon agar lebih meriah.

Jumlah pinjaman RM4,000 yang akan dipohon itu mampu dibayar, tambahan pula menerusi kaedah potongan gaji yang disediakan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) kerana dia merupakan ahli sebuah koperasi.

Bagaimana pun, Yusman bimbang permohonan pinjamannya ditolak kerana dia banyak hutang-hutang lain yang perlu dibayar dengan potongan mencecah 60 peratus daripada jumlah gajinya.

Jujurnya, setiap individu perlu tahu had kemampuan untuk berhutang.

Umpama mengikur baju pada badan sendiri, ini kerana setiap peminjam tahu kesihatan poket masing-masing lebih-lebih lagi jika tiada pendapatan selain wang gaji.

Sama seperti bank, setiap individu sebenarnya perlu mematuhi nisbah hutang yang dia ada.

Jika tidak, sebahagian besar gaji hanya digunakan untuk membayar hutang menyebabkan pendapatan yang ada berkurangan.

Bagaimana pun, ada dalam kalangan peminjam yang sanggup mengemukakan maklumat palsu semata-mata untuk meminjam.

Dalam konteks ini, setiap peminjam bertanggungjawab bagi memastikan had hutang dan segala jenis penipuan daripada pelbagai sudut dapat dikawal pada peringkat awal permohonan.

Ingat, membuat hutang memang sedap, tetapi hendak membayarnya cukup menyeksakan.