GOPENG - Taman Herba Negeri Perak yang terkenal suatu ketika dulu kini melalui fasa transformasi untuk dijadikan sebagai satu hub berteknologi tinggi dan destinasi agro pelancongan negeri Perak.

Pengarah Urusan Proven Optimisation Innovative Solutions (POIS), Eidia Erriany Abd Rahman berkata taman herba milik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) itu sedang dalam proses pembangunan dan baik pulih di bawah pengurusan dan dana POIS.

"The Treasure @ Taman Herba Gopeng adalah nama baru bagi taman herba ini setelah mengenal pasti tiga teras utama iaitu pendidikan, pembangunan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar.

"POIS akan terus mengekalkan konsep asal penanaman herba seperti sebelumnya sebagai tarikan utama. Menyerdari akan kepentingan herba dalam perubatan, aromaterapi, dan kosmetik, termasuk sebagai ulam dan rempah, ianya juga mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada komuniti sekaligus mampu menaikkan taraf sosio-ekonomi setempat.

"Pelbagai kemudahan dan aktiviti, program-program juga akan diwujudkan seperti pendidikan, keusahawanan dan kawasan rekreasi untuk pengunjung beriadah di hujung minggu bersama keluarga", katanya kepada media selepas Program Penyampaian Sumbangan CSR Sempena Menyambut Ramadan Al-Mubarak, semalam.

Projek The Treasure @ Taman Herba Gopeng akan melalui tahap tiga fasa baik pulih dan naik taraf yang dijangkakan akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2023. Namun sekiranya fasa pertama siap tanam herba ini akan dibuka dalam bulan Jun tahun ini.

Antara agensi-angensi yang terlibat menjayakan The Treasure @ Taman Herba Gopeng ini ialah Mardi, Jabatan Pertanian dan beberapa universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

POIS Sdn.Bhd. adalah syarikat bumiputera yang berpengalaman lebih dari 30 tahun dalam bidang informasi, komunikasi dan teknologi serta teknologi hijau. Terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Sebelum itu, Eidia Erriany menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada sembilan orang penduduk tempatan yang daripada ibu tunggal dan keluarga asnaf.

Norsiah Mohd Radzi, 68, seorang ibu tunggal sejak 30 tahun lalu menzahirkan kesyukuran diatas sumbangan POIS.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak POIS di atas sumbangan yang diterima. Sumbangan ini meringankan sedikit perbelanjaan barangan dapur menjelang bualan puasa ini”, katanya yang tinggal menyewa di Taman Raia.