KAMPAR – Majlis Daerah Kampar (MDKpr) menyediakan 147 tapak niaga untuk bazar Ramadan tahun ini empat lokasi terpilih sekitar Kampar.

Yang Dipertuanya, Abdul Halim Saad berkata, empat lokasi tersebut adalah di tempat letak kereta Jalan Terminal Kampar 1/B, Terminal Kampar; tapak tempat letak kereta berhadapan Dewan Bandaran Gopeng; Dataran Sri Malim, Malim Nawar dan Kuala Dipang.

Menurutnya, bazar Ramadan di tempat letak kereta Jalan Terminal Kampar 1/B, Terminal Kampar mempunyai tapak niaga terbesar dengan jumlah di antara 60 petak.

“Setakat ini, cadangan masa operasi bazar Ramadan yang ditetapkan adalah pada jam 3 petang sehingga 8 malam,” katanya ketika ditemui Peraktastic, di sini.

Tarikh yang ditetapkan untuk pengambilan dan penghantaran borang permohonan di Bahagian Pelesenan MDKpr adalah pada 29 hingga 31 Mac (lokasi Kampar dan Kuala Dipang) serta 1 dan 2 April (lokasi Malim Nawar dan Gopeng).

Bagi yang berminat untuk memohon tapak niaga ini, pemohon perlu membawa dua keping gambar berukuran passport, satu salinan kad pengenalan dan satu salinan sijil kursus pengendali makanan.

Kadar bayaran yang ditetapkan untuk lokasi di Kampar (RM500); Kuala Dipang (RM130 tanpa khemah), Malim Nawar dan Gopeng (RM450).

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Jabatan Kesihatan Awam di talian 05-467 1047.