Kelab Belia Abrar, ajak belia imarah masjid
- Details
- Komuniti
- Hits: 1362
IPOH – Penubuhan Kelab Belia Abrar diharap dapat menggalakkan golongan belia untuk mengimarahkan masjid serta memberikan sumbangan khidmat masyarakat kepada penduduk setempat.
Pengerusinya, Muhammad Syukri Alimar Shidi berkata, inisiatif untuk menubuhkan kelab ini tercetus daripada Pengerusi dan ahli jawatan kuasa Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, kelab yang ditubuhkan pada Januari lalu, berjaya mengumpul seramai 54 belia yang rata-rata terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Rokam dan kawasan sekitarnya.
“Kita mempunyai visi dan misi yang luas untuk memastikan belia prihatin terhadap masjid dan tidak menganggap masjid hanya untuk tempat beribadah semata-mata.
“Selain itu, kita juga sedang giat menyusun pelbagai aktiviti dan program bersesuaian sempena Ramadan ini dan pada masa akan datang.
“Penubuhan kelab ini adalah sesuatu yang bersejarah dan sentimental memandangkan sebelum ini tidak pernah ada tim belia yang tampil untuk membantu ahli kariah masjid yang kebanyakkan terdiri daripada golongan warga emas.
“Jika ada rezeki, kita turut berhasrat untuk mengajak beliawanis bersama-sama dalam menyertai kelab ini pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai inisiatif masjid dalam mewujudkan Gerobok Rezeki (Food Bank), Muhammad Syukri berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku pada tahun lalu, ramai golongan kurang berkemampuan datang ke masjid untuk memohon sumbangan.
“Justeru, kita menyediakan food bank ini supaya golongan kurang berkemampuan dapat mengambil barangan keperluan harian yang diperlukan,” jelasnya.
Beliau berkata, mereka yang ingin mengambil barangan tersebut perlu mengisi borang terlebih dahulu untuk memudahkan pihak masjid membuat tindakan susulan berhubung perkembangan mereka dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim hadir melancarkan Kelab Belia Abrar dan Gerobok Rezeki di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam, di sini.