IPOH - Program Info On Wheels (IOW) yang digerakkan Jabatan Penerangan Perak menyasarkan 90 peratus Orang Asli di negeri ini untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Mohd Taip Ubah berkata, program ini akan dimulakan di Kampung Sungai Karah, Lenggong esok sebelum diteruskan di Kampung-kampung Orang Asli di seluruh negeri ini.

Menurutnya, setakat ini pendaftaran masyarakat Orang Asli untuk vaksinasi adalah sedikit rendah berbanding penduduk di bandar besar memandangkan mereka kurang faham berhubung cara untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 melalui saluran yang betul.

"Berikutan itu, kita mengambil inisiatif melalui program IOW dengan bantuan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) bersama-sama bergerak bagi membantu Orang Asli di seluruh negeri ini," katanya pada sidang media di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud hadir pada Program Signature PMR sebelum mengadakan walkabout di sekitar UTC sambil mengedarkan risalah berhubung cara untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 melalui bantuan PMR.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Taip berkata, program IOW turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Menteri Besar serta agensi-agensi lain.

Sementara itu, menyentuh mengenai PMR, Mohd Taip memaklumkan setakat ini terdapat 14 cawangan PMR di seluruh Perak.

"PMR adalah usaha Jabatan Penerangan Perak dan program Signature PMR yang diadakan setiap tahun ini bertujuan untuk meningkatkan penyebaran dan pengetahuan terhadap perkhidmatan kerajaan secara lebih meluas kepada rakyat.

"Program ini juga membantu dalam menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat dalam memahami kepentingan vaksinasi Covid-19.

"Selain itu, dengan penyediaan komputer dan internet percuma, PMR turut memudahkan rakyat yang ingin membuat pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19," jelasnya.

Beliau berkata, pada minggu ini sahaja, lebih kurang 50 orang telah menggunakan perkhidmatan PMR di UTC Perak dan jumlahnya dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

"Pegawai-pegawai PMR juga bergiat aktif turun ke daerah-daerah di negeri ini bagi memastikan maklumat yang disalurkan sampai terus kepada rakyat," ujarnya.