IPOH- Penganjuran program Bengkel Hakcipta dan Bikin Video Muzik(BHBVM) telah mengubah persepsi masyarakat terhadap Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Afzainizan Salleh berkata MBI bukan sahaja bertanggungjawab mengurus dan mentadbir kawasan bandar raya berasaskan kepentingan tempatan malah ianya lebih daripada itu.

“Melalui program BHBVM ternyata MBI telah berjaya membantu mencetuskan inspirasi pengkarya-pengkarya muda untuk berkongsi pengalaman dengan penggiat seni dan video muzik di negeri Perak.

“Selama ini ramai yang beranggap tanggungjawab utama MBI hanya melakukan kerja-kerja membersih bandar raya sahaja tetapi hari ini telah terbukti MBI telah membantu komuniti membangunkan industri kreatif selaras dengan keperluan semasa.

“BHBVM bukan sahaja menambah ilmu berkaitan penerbitan hak cipta malah ianya memberi jalan kepada peserta bagaimana bakat kreatif diketengahkan melalui medan media sosial untuk menjana pendapatan yang lumayan," katanya sewaktu ditemubual selepas majlis penutup BHBVM di Dewan Bandaran Ipoh, semalam.

Bengkel bekenaan anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd (Luncai Emas) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) telah berlangsung pada 27 dan 28 Mac 2021.

Sementara itu salah seorang peserta BHBVM, Mohd Azam Mohd Saleh, 64, berkata MBI mengambil langkah yang bijak dalam membantu masyarakat membangunkan industri kreatif.

“Melalui bengkel ini kita baru sedar bahawa industri seni kreatif mempunyai pontensi yang besar dalam membentuk kerjaya. Melalui industri seni kreatif ini ianya boleh melahirkan para yang mahir dalam bidang usahawan dengan lebih mudah dan pantas.

“Dari segi pembuatan video untuk YouTube  ianya boleh dibangunkan dimana sahaja dengan menggunakan teknologi sedia ada dengan hanya menggunakan telefon bimbit. Sememangnya kerja-kerja ini begitu mudah  ianya boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa had usia.

“Saya berharap MBI akan meneruskan lagi program seumpama ini kerana ianya banyak membantu para pengkarya untuk memajukan diri dalam industri kreatif ini”, katanya.