IPOH - Pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2021 dijangka akan ditentukan pada 9 April ini. 

Pada hari ini, MBI melaksanakan sesi cabutan bertuah bagi 230 slip cabutan termasuk 30 slip untuk hadiah utama dan 200 slip untuk hadiah saguhati 

30 slip dalam cabutan hari ini berpeluang untuk memenangi hadiah utama wang tunai RM20,000 yang ditawarkan MBI pada sesi cabutan semula yang akan diadakan nanti. 
 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dalam ucapannya berkata, penyertaan untuk cabutan bertuah tersebut telah berakhir pada 28 Februari lalu, bagaimanapun, tempoh pembayaran cukai taksiran 2021, dilanjutkan sehingga 30 April ini.
 
Katanya, ini adalah kali pertama MBI menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM76,000 secara keseluruhan merangkumi 30 hadiah utama dan 200 hadiah saguhati. 
 
"MBI turut memberikan 50,000 unit cenderahati menarik iaitu ‘Sampul Tempat Menyimpan Pelitup Muka (Facemask)’ kepada wargakota yang membuat pembayaran awal mulai pertengahan November 2020," katanya. 
 
Beliau berkata, pada tahun ini, terdapat sedikit penurunan pembayaran (untuk tempoh setahun) sebanyak 4.7 peratus berbanding tahun lalu. 
 
"Pada 2021, hanya 141,191 bil yang telah membuat pembayaran setahun berbanding tahun 2020 iaitu 148,174 bil, manakala jumlah bayaran lebihan adalah sebanyak RM 36.45 juta berbanding RM 39.5 juta pada tahun 2020. 
 
"Kita juga telah membuka peluang penyertaan cabutan bertuah itu kepada penduduk Ipoh yang membuat bayaran secara atas talian (online) ie-bayaran melalui laman sesawang MBI di alamat www.mbi.gov.my, perbankan internet, Jompay dan juga PBTPay. Dianggarkan hampir 29,000 transaksi pembayaran setahun telah berjaya direkodkan," jelasnya. 
 
Rumaizi turut memaklumkan MBI telah memberikan pengurangan sebanyak 50 peratus kompaun bagi pembayaran melalui sesawang MBI dan juga di aplikasi Park@Perak. 
 
"Ini adalah tanda penghargaan dan terima kasih kita kepada pembayar-pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka pada bandaraya Ipoh dan juga sebagai galakkan kepada pembudayaan kehidupan norma baru yang perlu ditempohi oleh wargakota serta keprihatinan MBI kepada wargakota dalam menghadapi tempoh pandemik ini, " katanya.