KAMPAR – Kegigihan pasangan suami isteri yang mencari idea untuk menjana pendapatan tambahan sewaktu pandemik Covid-19 melanda membuahkan hasil apabila mereka berjaya menjalankan projek tanaman cili merah fertigasi di tanah pusaka peninggalan keluarga.

Pasangan suami isteri ini juga yakin potensi perniagaan pertanian ini mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Jaslee Harun, 46 dan isterinya, Mariana Ariffin, 44, mendapat idea untuk menjalankan projek berkenaan selepas mendapat nasihat daripada adik mereka yang sebelum ini telah mengusahakan tanaman cili merah tersebut.

Menurut Jaslee, bermodalkan RM40,000 mereka telah menanam kira-kira 2,500 pokok cili merah secara fertigasi di atas tanah seluas dua ekar di Tronoh Mines, di sini.

“Kami memulakan projek ini pada 11 Januari lalu dan pokok-pokok cili mula mengeluarkan hasilnya selepas 70 hari kemudian,” katanya kepada Peraktastic di sini baru-baru ini.

Katanya, sebelum projek bermula, Mariana turut mengambil kursus secara atas talian (online) dan memohon segala perkara yang berkaitan dari Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) supaya projek ini dapat berjalan dengan lancar.

“Untuk cili ini, kami menggunakan benih Cili Merah Kulai 461 yang diperolehi di Kampung Gajah dan ditanam 100 peratus di atas sabut kelapa yang diproses kerana ia bersifat neutral dan mampu bertahan sekitar lima tahun serta mengurangkan risiko untuk tanaman tersebut rosak.

“Setiap hari lebih kurang 4,000 liter air dan baja kimia disalurkan ke pokok-pokok cili ini serta pokok boleh mencapai ketinggian sehingga dua meter pada satu-satu masa.

“Panjang cili pula boleh mencecah sehingga lapan inci dan cili-cili yang dituai akan dikelaskan mengikut gred A, B dan C,” jelasnya.

Jaslee berkata, setakat ini mereka sudah menuai tanaman itu sebanyak dua kali. Bagaimanapun, menurutnya, paling rendah mereka mampu menuai sekurang-kurangnya lima kali dalam tempoh sebulan.

“Sepanjang dua kali melakukan tuaian, kami berjaya mendapat 200 kilogram (kg) cili merah dan hasilnya dijual kepada pelanggan-pelanggan kami yang berda di sekitar Kampar serta pengusaha kedai makan,” ujarnya yang memberitahu satu polibag mampu menghasilkan antara dua hingga ke tiga kg cili pada satu-satu masa.

Sementara itu, Mariana berkata, dalam tempoh hampir tiga bulan menjalankan projek ini, pelbagai risiko perlu ditempuhi terutamanya apabila berlaku bencana alam dan serangan penyakit ke atas tanaman.

“Baru-baru ini, 200 pokok tumbang akibat ribut petir. Selain itu, masalah hama dan penyakit juga timbul namun kami berjaya mengatasinya dengan baik,” katanya yang memaklumkan harga cili merah bergantung mengikut harga pasaran semasa.

Menyentuh mengenai pelan jangka masa panjang, Mariana memberitahu, mereka mungkin akan menjalankan projek tanaman terung pada masa hadapan.

“Kami mempunyai dua ekar lagi tanah yang masih belum diusahakan. Jika ada rezeki lebih, kami akan menanam terung di kawasan tersebut,” katanya yang turut menjual jeruk cili dengan harga RM7 sebekas.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan bekalan cili merah segar dari pasangan ini boleh menghubungi mereka melalui aplikasi Whatsapp di 012-539 1844 atau 017-513 6559.