IPOH – Warga bandaraya Ipoh perlu memainkan peranan dalam soal kebersihan yang merupakan tanggungjawab bersama kerana imej sesebuah kawasan yang bersih adalah terletak pada penduduk setempat dan ia tidak akan tercapai sekiranya penduduk tiada perasaan tanggungjawab.

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin berkata, justeru itu penyediaan pusat pengumpulan tersebut di kawasan pinggir bandar adalah agar penduduk setempat mempunyai lokasi khusus dan mengikis budaya melonggokan sampah di tepi jalan sehingga menimbulkan masalah kebersihan.

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membina 12 buah pusat pengumpulan sampah domestik melibatkan 12 buah perkampungan terpilih di dalam kawasan pihak berkuasa tempatan tersebut bagi memastikan kutipan sampah dapat dijalankan secara teratur melibatkan peruntukan sebanyak RM213,860.

“Dengan adanya pusat pengumpulan sampah ini penduduk perlu membiasakan dengan kaedah pembuangan sampah berjadual mengikut hari kutipan oleh petugas pembersihan.

“Penduduk juga bertanggungjawab memastikan tapak sampah itu dijaga dengan baik dan dalam keadaan bersih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Pengumpulan Sampah Domestik Kampung Pasir Putih di sini, hari ini.

Ini merupakan pusat pengumpulan sampah pertama disiapkan MBI dengan menempatkan tiga buah tong sampah besi beroda bersaiz 660 liter manakala jumlah selebihnya akan dibina satu demi satu.

Kos pembinaan dan pengurusan bagi setiap pusat pengumpulan sampah ini adalah sebanyak RM15,000 manakala pembinaan kesemuanya dijangka siap sebelum Aidilfitri nanti.
Kawasan lain adalah Kampung (Kg) Cik Zainal dan Kg. Ulu Kuang di Chemor, di Tanjung Rambutan (Kg Baru Tambun, Kg Baru Changkat Kinding, Kg Kolam dan Kg Manikuty South Ward) Kg Pengkalan Pegoh, Kg Sungai Rokam, Kg Rapat Jaya Tambahan, Kampung RPT Sengat dan Kg Baru Simpang Pulai.

Jelas Rumaizi lagi, program kutipan sampah ini juga merupakan inisiatif segera yang ilhamkan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad agar isu pembuangan sampah di kawasan kampung-kampung dan penempatan pinggir bandar diatasi segera.

“Penyediaan pusat pengumpulan sampah ini juga mendapat kerjasama komuniti setempat untuk sama-sama menjaga serta memastikan peraturan membuang sampah dipatuhi.

“Sampah perlu dimasukkan ke dalam tong sampah, bukan dibuang di luar tong yang disediakan. Pegawai penguat kuasa juga akan melakukan pemerikaan dan mengenakan tindakan saman,” ujarnya.