IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dijangka akan membekalkan 20,000 tong sampah secara percuma di kediaman sekitar bandaraya Ipoh sepanjang tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, program pemberian tong sampah ini akan diadakan secara berterusan dalam usaha MBI merealisasikan hasrat untuk menjadikan Ipoh sebagai bandaraya terbersih di Malaysia menjelang tahun 2023.

Menurutnya, MBI turut mendapat kerjasama anak syarikat kerajaan negeri Syarikat Majuperak Utilities Management Sdn Bhd (MUMSB) untuk membekalkan 10,600 tong sampah di kawasan yang dikenalpasti memerlukan kemudahan tersebut.

“Hari ini, kita mengedarkan 1,150 tong sampah kepada penduduk sekitar Bandar Baru Putra Bercham manakala MUMSB pula mengedarkan 2,000 tong sampah lengkap dengan mikrocip yang dibekalkan syarikat tersebut di kediaman sekitar Zon Meru.

“Kita juga akan mengambil alih 5,000 tong sampah di Zon Manjoi dan akan membekalkan 8,000 tong sampah baharu di kawasan berkenaan,” katanya yang memaklumkan harga bagi satu tong sampah bernilai RM300.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini hanya tong sampah di Meru sahaja yang dilengkapi mikrocip bagi mengelakkan masalah kecurian berlaku manakala tong sampah di Bandar Baru Putra, Bercham tidak dilengkapi dengan kemudahan tersebut.

Rumaizi berkata, MBI menyasarkan antara 50 ke 60 peratus tong sampah untuk dibekalkan kepada penduduk di sekitar kawasan kediaman di bandaraya ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata, buat masa ini di Ipoh, jumlah kutipan sampah adalah di antara 500 ke 600 tan sehari.

“Kalau tak urus dengan baik (sampah) boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk dan boleh membawa risiko penyakit.

“Mungkin pada masa depan kita akan memperkenalkan program kitar semula bagi mengurangkan jumlah pembuangan sampah. Malah, masalah pembuangan sampah haram juga sudah berkurangan daripada 1,671 kes kepada 1,660 kes,” jelasnya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut meminta warga Ipoh untuk mencontohi penduduk di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan yang mempunyai kawalan kendiri yang baik dalam mengendalikan pengurusan pembuangan sampah.

“Kita perlu membuat perubahan dari segi budaya dan mindset dan ia tertakluk kepada individu itu sendiri. Jika dapat dilaksanakan, pasti masalah pembuangan sampah ini dapat dikawal dengan baik,” ujarnya.

Terdahulu, Rumaizi mengedarkan tong sampah kepada penduduk di Bandar Baru Putra, Bercham pada Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah dalam kalangan warga Ipoh bagi meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman.

Sementara itu, surirumah, Nor Azura Mat Isa, 40, mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan MBI memberikan tong sampah percuma kepada penduduk di sekitar kawasan ini.

“Sebelum ini, sampah yang dibuang hanya diikat di dalam plastik dan diletakkan di hadapan rumah. Haiwan seperti anjing dan kucing sering mengoyakkan plastik sampah sehingga menjadikan kawasan persekitaran bersepah.

“Dengan pemberian tong sampah ini masalah ini diharap dapat dikurangkan dan secara tidak langsung menjadikan kawasan persekitaran tempat tinggal kami lebih bersih dan cantik,” katanya.