IPOH – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Peribahasa itu sesuai diungkapkan kepada kepada pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2021 Dahlia Ramli, 36, dari Taman Botani yang berjaya membawa pulang RM20,000.

Dahlia yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir berkata, dia tidak pernah memenangi mana-mana hadiah cabutan bertuah sebelum ini dan ia adalah yang pertama kali buat dirinya.

“Alhamdulillah, wang kemenangan ini akan dikongsikan bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, akan digunakan sebaik mungkin sempena menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal nanti,” katanya ketika ditemui Peraktastic di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI, di sini, hari ini.

Ibu kepada seorang anak ini memberitahu, dia membayar cukai taksiran bagi tempoh setahun itu secara atas talian melalui JomPay.

Terdahulu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dalam ucapannya memaklumkan 30 cabutan yang diadakan pada hari ini adalah susulan daripada 230 cabutan bertuah yang dilaksanakan pada 29 Mac lalu.

Menurutnya, 30 cabutan tersebut adalah bagi menentukan pemilik hadiah-hadiah utama dengan hadiah keseluruhan untuk cabutan bertuah pada tahun ini berjumlah RM76,000.

“Pada tahun ini, sebanyak 141,191 bil yang telah membuat pembayaran setahun berbanding tahun 2020 iaitu 148,174 bil, manakala jumlah bayaran lebihan adalah sebanyak RM 36.45 juta berbanding RM 39.5 juta pada tahun 2020.

 “Walaupun terdapat sedikit pengurangan, jumlah ini masih ditahap yang membanggakan walaupun berada didalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 “Pembayaran ini adalah tanda-tanda positif wargakota menyambut baik Bil Setahun Cukai Taksiran yang diperkenalkan serta Cabutan Bertuah yang dilaksanakan oleh MBI,” katanya.

Hadiah kedua dimenangi Rafidah Lot dan Mohd Radzuan Musa yang membawa pulang RM10,000; diikuti hadiah ketiga Muhamad Husin Md Dom yang menerima hadiah RM5,000.

Manakala, pemenang cabutan bertuah bagi tempat kelima adalah AG Mohd Fadzil AG Ismail dan Yong Ngah @ Yong Mooi yang masing-masing membawa pulang RM3,000.

Hadiah kesemua 30 pemenang disampaikan Rumaizi.