IPOH- Golongan B40 dan M40 berpeluang memiliki rumah kos rendah dan mampu milik selaras dengan hasrat kerajaan mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, projek D’ Nusa Kayangan di bawah skim Rumah Perakku dapat membantu golongan sasaran memiliki kediaman sendiri.

"D’ Nusa Kayangan ini adalah projek kerjasama diantara Lembaga Perumahan Hartanah Perak (LPHP) sebagai pemilik tanah dan Mimbar Nusantara Homes sebagai pemaju perumahan.

"Projek perumahan ini terletak di Tanah Hitam berhampiran Pekan Chemor adalah yang pertama bagi parlimen Tambun dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

"Projek Pembangunan ini dibahagikan kepada tiga fasa dengan saiz tanah 48 ekar, bagi fasa pertama ia membabitkan Perakku 1 (kos rendah) sebanyak 74 unit,
rumah teres satu tingkat mampu milik sebanyak 98 unit dan rumah teres dua tingkat sebanyak 31 unit," katanya kepada media selepas merasmikan majlis pra-pelancaran projek perumahan D’Nusa Kayangan Chemor, Perak di sini, hari ini.
 
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Mimbar Nusantara Homes Sdn Bhd, Nazrin Cheong Abdullah berkata, harga rumah yang ditawarkan oleh syarikatnya adalah harga yang paling terendah berbanding harga pemaju yang lain pada masa sekarang.

"Projek Perumahan Perakku D’ Nusa Kayangan menawarkan harga bermula dari RM178,000 seunit bagi rumah teres satu tingkat. Sementara harga rumah teres dua tingkat pula harganya bermula RM298,000.

"Sebanyak 73 peratus pendaftaran pembelian telah dibuat ke atas 203 unit dalam fasa satu yang sedang dibangunkan. Iniadalah satu perkembangan yang positif dan menggalakkan," katanya.

Pada majlis itu, Nazrin turut menyampaikan sumbangan RM1,000 berserta sekotak kurma kepada lima buah masjid di sekitar Ipoh bersempena bulan Ramadan yang bakal menjelang beberapa hari lagi.