KRT Klebang Selatan buka Pusat Pemprosesan & Jualan Kerepek Ubi Kayu - bantu komuniti tempatan jana pendapatan alternatif pasca pandemik Covid-19
- Details
- Komuniti
- Hits: 1289
IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyokong inisiatif yang dilaksanakan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Klebang Selatan dalam usaha memperkasakan ekonomi bagi menjana pendapatan alternatif melalui pembukaan Pusat Pemprosesan dan Jualan Kerepek Ubi Kayu di sini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, pelaksanaan pusat pemprosesan dan jualan itu adalah hasil bantuan daripada Pusat Alam Sekitar Global (GEC) dan Yayasan Hasanah serta kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) 2020.
Menurutnya, langkah proaktif yang dijalankan ini diharap dapat menaikkan semula ekonomi di Perak yang sedikit terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.
“Penghasilan produk makanan oleh KRT Klebang Selatan adalah usaha baik bagi mempertingkatkan ekonomi dalam kalangan komuniti serta menyokong kempen ‘Buy Malaysia’ yang secara tidak langsung menggalakkan rakyat membeli produk tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Pemprosesan dan Jualan Kerepek Ubi Kayu KRT Klebang Selatan di Dewan Komuniti KRT Klebang Selatan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pembangunan Komuniti Yayasan Hasanah, Anita Ahmad, Pengarah GEC, Faizal Parish, Pengerusi KRT Klebang Selatan, Salehuddin Hussain dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kinta/Batang Padang, Sharifudin Jamil.
Rumaizi berkata, usaha-usaha yang dijalankan KRT Klebang Selatan perlu dijadikan contoh kepada rakan komuniti lain dalam melaksanakan program berkaitan alam sekitar dan bukan hanya fokus kepada pembangunan sosial semata-mata.
“KRT Klebang Selatan juga berjaya melakukan tiga aktiviti secara serentak melibatkan perkebunan bandar dengan membangunkan tanah-tanah terbiar dalam bandaraya Ipoh melalui aktiviti pertanian.
“Mereka turut membangunkan usahawan komuniti dengan mengeluarkan produk melalui hasil pertanian tersebut,” jelasnya.
Tambahnya, KRT Klebang Selatan turut serta dalam memastikan kelestarian alam dengan berusaha dan menjaga Sungai Klebang supaya sentiasa berada dalam keadaan yang bersih.
“Penjagaan sungai tersebut adalah di bawah Projek Pengurusan Lembagan Hulu Sungai Kinta yang dijalankan bersama GEC, JPS Perak dengan sokongan pelbagai agensi lain termasuk MBI,” katanya.
Berikutan itu, KRT Klebang Selatan dan KRT Taman Tasek Jaya terpilih sebagai calon bagi Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) bagi tahun ini sempena Sambutan Hari Air Sedunia.