IPOH- “Sumbangan ini sangat besar ertinya kepada saya kerana dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan menjelang bulan puasa tahun ini," kata Suriani Ismail, 38, salah seorang dari keluarga asnaf yang terpilih menerima sumbangan sempena Ramadan.

Kisah sedih kehidupan Suriani bersama lima orang anaknya yang menetap di Kampung Tanggong, Silibin mendapat perhatian dari pihak pasar raya Econsave.

Suriani terpaksa meneruskan kehidupan membesarkan lima orang anaknya termasuk sepasang kembar lelaki berusia satu tahun empat bulan.

“Suami saya masih dalam rawatan di Pusat Pemulihan Serenti Serendah setahun yang lalu. Saya hanya menjalankan perniagaan menjual telekung secara atas talian dan pendapatan tidak menentu manakala sewa rumah pula RM400 sebulan.

“Walau bagaimanapun anak kembar saya mendapat bantuan dari Baitumal sebanyak RM400 dan RM900 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Bantuan yang diterima dapatlah menampung keperluan sewa rumah dan perubatan anak kembar saya.

“Anak kembar saya masih mendapat rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) di mana seorang mengidap jantung berlubang dan seorang lagi saluran jantung yang sempit dan menggunakan bateri sebagai alat bantuan," katanya.



Pengurus Besar Utara 2, Econsave, Chua Yong Chiang berkata, sumbangan ini adalah Program Ziarah Kasih yang bermatlamat membantu golongan kurang bernasib baik bersempena kedatangan bulan Ramadan tahun ini.

“Pihak pengurusan mengeluarkan dana terkumpul dari Projek Bakul Rezeki, Econsave untuk diagihkan kepada dua keluarga terpilih. Sumbangan berbentuk barangan keperluan harian ini berjumlah RM500 untuk setiap seorang.

“Selain itu program ini adalah program tanggung jawab sosial korporat (CSR) Econsave yang telah lama dijayakan. Kami akan meneruskan program seumpama ini bagi membantu golongan yang tidak bernasib baik tanpa mengira bangsa dan agama”, katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Suriani Ismail, di Kampung Tanggong, Silibin, di sini, baru-baru ini.

Seorang lagi penerima bantuan, Haslina Azmi, 44, yang juga ibu tunggal, tinggal bersama empat orang anak di Kampung Sungai Tapah Tambahan, Manjoi. Mereka sekeluarga hilang tempat bergantung sejak kematian suami kira-kira tiga tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

“Saya rasa terharu di atas sumbangan dari pihak Econsave. Ini adalah rezeki anak-anak saya sempena bulan Ramadan tahun ini. Sumbangan ini boleh bertahan lebih dari empat bulan dan sangat membantu meringankan perbelanjaan harian saya. Terima kasih, Econsave”, katanya yang bekerja sebagai pembantu am di sebuah Tadika berhampiran rumahnya dengan pendapatan sebanyak RM150.00 sebulan.

Hadir sama Pengurus Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman dan beberapa orang kakitangan Econsave.