IPOH- Penganjuran Bengkel Dan Pameran Seni Cetak Gurisan Asid oleh Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) mendapat sokongan penuh dari Datuk Bandar Ipoh dalam usaha menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Seni.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Dauh berkata, program-program berunsur seni seharusnya dianjurkan lebih kerap supaya bandaraya Ipoh menjadi pusat tumpuan seni dan kreatif.

“Bengkel ini membuka lebih ramai penggiat seni kreatif dalam menonjolkan bakat masing-masing di samping berkongsi ilmu pengetahuan bagaimana untuk menghasilkan sesuatu produk seni.

“Bangunan Black House PORT dahulunya adalah bangunan lama yang terbiar kini telah menjadi tumpuan penggiat seni kreatif dalam menghasilkan karya-karya seni.

"Inisiatif PORT ini sangat membanggakan, bukan sahaja membantu penggiat-penggiat seni malah mampu menjana pendapatan," katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutup PORTSKOOL: Bengkel dan Pameran Seni Cetak Gurisan Asid, di PORT, semalam.

Bengkel Seni Cetak Gurisan Asid berlangsung selama empat hari bermula 5 hingga 8 April lalu membabitkan lebih 20 orang peserta termasuk artis luar negara iaitu dari Mein Ding Gallery, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dan wakil Persatuan Seni dan Budaya Orang Asli Negeri Perak.

Sementara itu Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, penganjuran bengkel - bengkel seperti ini memberi peluang kepada penggiat seni dan orang awam yang berminat untuk mempamerkan bakat kreatif masing-masing.

“Bengkel dan pameran ini adalah sebuah program seni oleh Studio Tikus-Chetak12 yang dijalankan sebagai program PORTSKOOL, yang ditaja sebahagiannya oleh Dana Kreatif Perak@PORT (DKP).

“Penerima DKP, Studio Tikus, terdiri daripada seniman seni kontemporari Perak yang sedang meningkat naik seperti Samsudin Wahab, Azam Aris, Zul Husni dan Fadhli Ariffin, bertindak sebagai tenaga pengajar di sepanjang sesi bengkel berlangsung.

”Tujuan utama bengkel selama empat hari ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan berkongsi kemahiran dalam penghasilan karya seni cetak gurisan asid (etching), satu bentuk seni cetakan yang agak kurang diketengahkan di Perak," katanya.