LUMUT - Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Perak mencapai sasaran dengan meraih tempat ketiga sempena Kejohanan Bola Sepak MAKSAK Malaysia 2021 yang diadakan di Padang Pelabuhan (A), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, baru-baru ini.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan MAKSAK Perak membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 berserta medal.

Selain pasukan MAKSAK Perak, pasukan MAKSAK Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mendapat tempat ketiga dalam kejohanan ini.

Pengurus Pasukan MAKSAK Perak, Musa Dun berkata, kejayaan meraih tempat ketiga dan berada di kelompok 4 pasukan terbaik di kejohanan tersebut adalah pencapaian yang disasarkan untuk penyertaan pada kali ini.

Menurutnya, semua pasukan yang menyertai kejohanan ini membariskan pemain-pemain berpengalaman dan terbaik serta sentiasa memberikan cabaran hebat apabila bertemu pasukan MAKSAK Perak.

“Syukur Alhamdulillah, berkat usaha berpasukan dan disiplin ketat yang diterapkan dalam pasukan berjaya membuahkan hasil,” katanya.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi Sukan Bolasepak MAKSAK Perak 2021-2022, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud yang memberi kepercayaan kepada pasukan MAKSAK Perak untuk menggalas tanggungjawab tersebut serta memberi galakan dan sokongan secara berterusan.

Untuk makluman, bagi saingan kejohanan sama pada tahun 2019, pasukan MAKSAK Perak tewas di peringkat suku akhir.

Pada kejohanan tahun ini, kemenangan berpihak kepada pasukan MAKSAK Johor yang telah menewaskan pasukan MAKSAK Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 di Perlawanan akhir setelah terikat 1-1 dalam masa penuh permainan.