IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dijangka akan memperluaskan penggunaan aplikasi e-wallet (bayaran tanpa tunai) di medan selera, gerai dan pasar awam seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan selepas perayaan Aidilfitri ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, MBI menjadikan bazar Ramadan sebagai projek rintis bagi kaedah urus niaga tanpa penggunaan wang tunai itu dengan kerjasama Maybank Berhad (Maybank).

“Kita akan guna e-wallet di medan-medan selera, aset-aset kita juga akan kita gunakan e-wallet, mungkin pasar pun kita akan buat (guna e-wallet). Semua ini akan dilaksanakan selepas raya.

“Buat masa ini, kita melakukan percubaan bagi penggunaan e-wallet di bazar Ramadan dengan kerjasama Maybank,” katanya.

Beliau berkata, pada sidang media selepas melancarkan E-Wallet Maybank Bazar Ramadan MBI di bazar Ramadan Stadium Perak, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Pengarah Serantau Maybank Perak, Datin Munirah Che Rose.

Rumaizi berkata, pihaknya akan melihat sejauh mana keberkesanan penggunaan e-wallet dalam urusan transaksi jual beli melalui projek rintis ini.

“Jika kita menerima aduan atau terdapat masalah dalam penggunaan aplikasi tersebut kita akan memperbaikinya,” jelasnya.

Menurutnya, program e-wallet bersama Maybank adalah salah satu quick win dalam pelaksanaan projek Bandar Pintar Ipoh menjelang 2030.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, terdapat insentif kepada peniaga dan pembeli yang menggunakan e-wallet.

“Melalui penggunaan e-wallet peniaga akan menerima jumlah bayaran pada masa yang sama waktu pembayaran ; layak untuk memenangi RM500 untuk setiap jualan tertinggi setiap minggu; layak untuk memenangi RM1500 untuk hadiah utama (jumlah jualan tertinggi); serta menerima dua helai apron dan pelitup muka secara percuma.

“Manakala, pembeli pula akan menerima 20 peratus potongan harga untuk setiap dua kali pembelian,” ujarnya yang menggalakkan penggunaan transaksi secara digital bagi setiap pembelian barangan atau perkhidmatan.