IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di bawah MBI Prihatin menganjurkan program pemilihan pakaian raya bagi berkongsi kegembiraan Aidilfitri bersama 70 anak-anak kurang bernasib baik dari dua buah rumah anak yatim dan miskin di bandaraya Ipoh, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd Syahrizal Azmi berkata, pada kali ini MBI memilih Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Al-Harraz dan Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh untuk menerima sumbangan tersebut.

“Program pemilihan pakaian raya dan berbuka puasa ini adalah tahun ketujuh diadakan dan sentiasa dilaksanakan pada bulan Ramadan setiap tahun.

“Bagaimanapun, pada tahun ini, program berkenaan adalah di bawah MBI Prihatin namun masih mendapat kerjasama daripada Econsave Jelapang dan Econsave Jelapang dan Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP) seperti tahun sebelumnya.

“Melalui program ini, kita memberi peluang untuk berkongsi kegembiraan bersama-sama anak-anak yatim dan miskin berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, selepas selesai pemilihan pakaian raya, anak-anak yatim dan miskin tersebut akan dibawa ke The Haven All Suite Resorts (The Haven) untuk menikmati majlis berbuka puasa bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.

Menurutnya, selain program pembelian pakaian raya, sepanjang bulan Ramadan, MBI turut mengadakan moreh di 16 masjid dan surau di sekitar bandaraya ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman berkata, program ini adalah program tanggung jawab sosial korporat (CSR) pasar raya besar tersebut yang telah lama dijayakan bersama-sama MBI dan KSKMP.

Katanya, sebanyak 70 baucer bernilai RM50 (setiap satu) diberikan kepada anak-anak yatim dan miskin tersebut mereka boleh membuat pilihan sama ada untuk membeli pakaian raya atau mendapatkan keperluan harian.

Sementara itu, pasangan adik beradik, Muhamad Faridhan Azman, 19 dan Muhamad Farish Azman, 12, dari Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

“Kami sangat gembira kerana berpeluang untuk memilih pakaian raya sendiri dan baucer yang diberikan ini akan digunakan sebaik mungkin,” kata mereka.

Hadir sama pada program tersebut, Pengurus Besar Utara 2, Econsave, Chua Yong Chiang dan Pengerusi KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali, wakil, Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Al-Harraz, Norizan Razali dan wakil Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh, Izzudin Basri dan Zamri Ahmad Tajuddin.