IPOH – Sebanyak 127 rumah penduduk yang terjejas akibat ribut dalam kejadian di Kampung Tasek, Bercham di sini Rabu lalu akan dibaiki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Perak menerusi Peruntukan khas sebanyak RM200,000 yang akan dimulakan esok oleh kontraktor yang dilantik.

Penilaian terhadap kerosakan akan dilakukan oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta bagi mengenal pasti jenis kerosakan.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kebanyakkan rumah-rumah di situ disewakan oleh pemilik kepada penyewa selain rumah-rumah lama dan kerajaan negeri sangat prihatin terhadap kesusahan yang dialami oleh penduduk.

Katanya, bantuan itu akan disalurkan melalui Yayasan Perak untuk membaiki kerosakan sepenuhnya 127 rumah penduduk yang terjejas.

“Kejadian ribut yang merosakkan rumah penduduk menyebabkan kita membuka Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Tasek.

"Selain ditempatkan di sana, ada juga keluarga menumpang di rumah rakan dan jiran. Kerajaan negeri bersimpati dengan kejadian ini tambahan pula berlaku semasa Ramadan dan berharap penduduk sabar serta bertabah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan dan menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Bencana iaitu kotak makanan dan wang tunai dan kotak makanan kepada mangsa-mangsa yang terjejas di Kampung Tasek di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Rabu lalu, hujan lebat dan angin kencang mengakibatkan bumbung rumah penduduk terbang selain struktur rumah terjejas ditimpa pokok tumbang.

Difahamkan, seorang penduduk di Kampung Tasek mengalami kecederaan akibat terkena renjatan elektrik dan dibawa ke hospital menaiki ambulan.

Kejadian pokok tumbang dilaporkan di Persiaran Tasek Timur 3 Taman Ria, Dataran Tasek Timur 9 Taman Bercham Maju dan berhampiran stesen minyak Shell lebuh raya hala ke Ipoh.