IPOH – Sebanyak 2,744 aduan berhubung jalan berlubang diterima Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak Januari lalu daripada orang awam menggunakan aplikasi WhatsApp 24 jam melalui nombor 017-412 2113 atau QR Code yang dibangunkan sendiri oleh MBI untuk kemudahan warga kota.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 2,349 kes atau sebanyak 85.6 peratus telah diselesaikan dalam masa yang ditetapkan sekali gus membuktikan keberkesan saluran aduan berkenaan yang bersifat dua hala.

Penolong Pengarah Kejuruteraan (Jalan) MBI, Izdihar Niszar Syafiq Sarlan berkata, aplikasi aduan tersebut merupakan inisiatif khas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud yang mahu pendekatan inovatif disediakan bagi menyelesaikan isu perbandaran termasuklah jalan berlubang.

Menurut beliau, ini kerana aduan yang disampaikan warga kota Ipoh itu beserta lokasi diterima terus oleh pihak Jabatan Kejuruteraan (Jalan) MBI sebelum dilakukan tinjauan bagi mengenalpasti kerosakan untuk dibaiki segera.

“Pothole atau jalan berlubang adalah lubang yang terdapat pada permukaan jalan yang terjadi atas pelbagai sebab yang kita tak pasti, tapi ia merupakan kerosakan jalan yang perlu dibaiki.

“Justeru, saluran aduan ini bertujuan untuk mengurangkan kes kemalangan yang berpunca daripada jalan berlubang tersebut dan MBI sangat prihatin dengan masalah ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi MBI dan Anda Siri 2 dengan topik Penyelenggaraan Jalan yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook MBI pagi tadi.

Sesi tersebut dikendalikan oleh moderator yang juga Pengarah Kanan MBI (Pentadbiran dan Operasi), Musa Dun.

Mengulas lanjut kata Izdihar Niszar Syafiq, terdapat tiga jenis kerosakan jalan yang sering berlaku iaitu mendapan, rekahan dan kerosakan struktur.

Bagaimanapun katanya, aduan berkaitan jalan berlubang adalah yang kerap diterima dan pihak pengurusan MBI sangat mengalu-alukan aduan daripada warga kota Ipoh walaupun ianya aduan berulang demi membaiki mutu perkhidmatan.

Sementara itu pada sesi sama, Pengarah Kejuruteraan Bandaraya, A’zman Mohd Harun memberitahu, MBI bertanggungjawab mengawal selia jalan sepanjang 3,292 kilometer (km) termasuk 811km lorong belakang iaitu jalan yang terletak di antara dua bangunan.

Katanya, manakala dua kategori lain iaitu jalan Persekutuan sepanjang 35km dan jalan negeri (70km) dibawah kawal selia Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kerajaan negeri sejak 2019 telah melantik Puncak Emas Sdn. Bhd. sebagai konsesi untuk menyelenggara jalan-jalan yang diurus MBI termasuk kerja-kerja pembaikan lampu jalan, pembersihan parit dan saliran.

“Walaupun ada konsesi tapi tanggungjawab masih di bawah MBI selaku pentadbir, jadi kita kena terima aduan daripada orang ramai dan dipanjangkan kepada konsesi untuk tindakan segera,” ujarnya.

Turut diselenggara oleh konsesi ialah keperluan dipanggil sebagai perabot jalan iaitu papan tanda, tanda jalan, bonggol jalan, pondok menunggu bas, penghadang keselamatan dan lampu jalan.

Manakala aduan berkaitan lampu tiang konkrit yang berada di tepi jalan pula adalah di bawah pemilikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) jika melibatkan kerosakan.

Dalam pada itu kata A’zman, risiko kerosakan jalan disebabkan lubang benam boleh berlaku tanpa disedari seperti kes luar jangkaan yang membabitkan agensi-agensi lain termasuk syarikat penyedia telekomunikasi (telco).

“Ini kerana ada jalan yang berkongsi laluan misalnya dengan rangkaian paip pembentungan, paip gas dan kabel-kabel telco, dalam situasi ini kadang-kadang kita tidak dapat elak misalnya kerja-kerja kecemasan.

“Namun, MBI tetap bertanggungjawab sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kita sering ingkatkan agensi-agensi berkaitan agar memaklumkan sebarang kerja-kerja berkaitan perkara ini,” jelasnya.