IPOH -  Kira-kira 30 peratus pengunjung bazar Ramadan di bandar ini di bawah kendalian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dikesan masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekali gus tidak cakna pada pematuhan yang sepatutnya diikuti.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, kelakuan pengunjung-pengujung seperti ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan peraturan dan langkah-langkah pencegahan untuk sama-sama mengekang wabak Covid-19 diambil berat.

Menurut beliau, sebaliknya teguran daripada penguatkuasa MBI kerana tidak mematuhi SOP telah menimbulkan rasa kurang senang pada pengunjung ini sedangkan ia untuk kebaikan umum.

“Memang, masih ada segelintir pengunjung bazar Ramadan yang berasa tidak senang apabila ditegur gagal mematuhi SOP. Kita tetap nasihatkan agar mereka terus mematuhi SOP.

“Penguatkuasa MBI menggunakan pendekatan tegur dan nasihat terlebih dahulu berbanding mengeluarkan kompaun meskipun mereka boleh berbuat demikian.

"Jika gagal kita khuatir kerajaan akan bertindak membatalkan bazar Ramadan pula. Bagaimanapun, tiada pelanggaran SOP dikesan dalam kalangan peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan Tabung Bantuan Bencana kepada mangsa terjejas akibat ribut di Kampung Tasek di sini semalam yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Rumaizi berkata, enam penguat kuasa ditambah di bazar Ramadan Stadium Perak, Medan Gopeng dan Taman Cempaka sebagai langkah mempertingkatkan kawalan dan kadar pematuhan SOP.

“Setiap laluan masuk kita tempatkan anggota penguat kuasa. Kini dengan penambahan anggota, kita menempatkan mereka untuk mengawal keadaan di sekeliling bazar,” kata beliau.

Pada tahun ini sebanyak 28 bazar Ramadan dikendalikan oleh MBI dengan melibatkan lebih 2,000 peniaga.

habis