IPOH - Pengamal media memainkan peranan penting dalam usaha menyampaikan berita dan maklumat kepada masyarakat setiap masa apatah lagi dalam keadaan sukar ketika ini semasa negara berhadapan dengan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, memberi contoh petugas media di negeri ini misalnya yang sentiasa komited berhadapan dengan tugas selain mencari skop berita-berita penting.

Kata Nolee Ashilin, beliau secara peribadi sangat menghargai bantuan media dalam pelbagai aspek termasuk tidak jemu-jemu membantu menaikkan sektor pelancongan negeri Perak dalam penulisan serta pelaporan mereka.

“Kadang-kadang saya sebagai Exco pun ada pembahagian tugasan dalam kalangan barisan Exco kerajaan negeri, tapi media di Perak ini saya lihat mereka sentiasa ada ke sana ke sini kerana wajah-wajah yang sama akan saya bertemu.

“Hari-hari ada sidang media yang perlu mereka hadiri. Mereka bertugas untuk mendapatkan berita-berita sahih untuk disampaikan kepada pembaca atau audiens masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Jalinan Mesra Bersama Media Negeri Perak di Tower Regency Hotel di sini semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa, ketua-ketua agensi dan jabatan serta NGO berkaitan pelancongan.

Pada majlis tersebut, kira-kira 40 orang pengamal media daripada semua agensi termasuk media berbahasa Cina dan Tamil diraikan pada jamuan berbuka puasa dalam suasana sangat harmoni serta santai.

Dalam ucapannya, Nolee Ashilin berkata, kerjasama antara media dan pelancongan sangat penting dalam usaha melaporkan tentang apa jua berkaitan industri berkenaan serta pengusaha-pengusaha pelancongan negeri.

“Saya rasa mereka cukup penting terutama dlm aspek pelancongan, khususnya peranan dalam membantu memajukan pelancongan negeri Perak dalam suasana sukar ketika ini,” ujarnya.

Katanya lagi, pengamal media juga merupakan barisan hadapan dalam melaporkan peristiwa dan maklumat penting terutama semasa pandemik Covid-19.

"Kita menghargai pengamal media mempertaruhkan nyawa mereka dalam melaporkan perkembangan Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu. Saya harap rakan-rakan pengamal media juga sentiasa dilindungi dalam melaksanakan tugasan,” ujar Nolee Ashilin.