IPOH – Ketika masyarakat sibuk mempersoalkan peraturan prosedur standard operasi (SOP), larangan rentas sempadan dan kebenaran untuk pulang beraya, ada insan yang langsung tidak terkesan dengan perkara-perkara sedemikan sebaliknya hanya memikirkan survival untuk meneruskan kehidupan.

Itu yang dilalui seorang warga emas, Muhammad Yusof Jidan, 66, yang sejak setahun lalu menjadikan sebuah pondok itu yang dibina dengan tulang empat kerat menggunakan bekas kayu-kayu serta zink rumah lamanya sebagai mahligai.

Pondok yang dilihat tidak ubah seperti kandang kambing itu dibina di atas tanah orang setelah meminta izin apabila rumahnya yang dibina di atas tanah kerajaan di Kampung Sri Keramat dekat Pasir Puteh di sini dirobohkan pemaju.

Muhammad Yusof yang tinggal sebatang kara berkata, dia hanya diberi RM1,000 oleh pemaju semasa diusir manakala tanah ganti yang sepatutnya diterima seperti penghuni lain tidak diberi.

Mengikut surat yang diedarkan kepada penduduk pada tahun 2002 semasa projek tersebut dirancang, sepatutnya mereka yang diusir akan menerima wang pampasan sebanyak RM10,000 atau bersamaan dengan RM30,000 jika mengambil kira nilai pada masa ini.

“Sebelum itu saya menumpang di Surau Al Karamah, Kampung Sri Keramat sebelum Imam, Abdul Rashid Ali membenarkan saya bina pondok di atas tanahnya tidak jauh dari surau.

“Saya mandi di surau. Kalau waktu malam sakit perut saya kena pergi ke surau kerana pondok ini hanya tempat berteduh. Pada waktu siang memang berbahang dan kalau malam sangat sejuk sehingga menggigit tulang,” ujarnya.

Muhammad Yusof yang bekerja kampung termasuk membantu di surau bergantung hidup dengan wang bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM300 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500.

Dia yang pernah berumahtangga bagaimanapun tidak mempunyai anak dan telah berpisah dengan bekas isteri sejak sekian lama.

Katanya, dia telah beberapa kali mengemukakan permohonan mendapatkan tanah ganti di Pejabat Menteri Besar tetapi masih belum berjawab.

Walaupun pernah ditawarkan untuk tinggal di rumah kebajikan, Muhammad Yusof menolak kerana ingin hidup berdikari sepertimana orang-orang lain.

“Setiap malam saya berdoa jika diberi tanah, saya akan wakafkan tanah itu kepada masjid setelah meninggal dunia nanti,” ujarnya menadah tangan memohon doa.