IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih belum mengeluarkan kompaun sama ada ke atas pengunjung atau peniaga sepanjang tempoh dua minggu bazar Ramadan di sekitar bandaraya ini beroperasi.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, MBI sentiasa menjalankan pemantauan yang ketat dan melakukan spot check dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, dalam lawatan yang dilakukan di Bazar Ramadan Medan Gopeng hari ini, pihaknya mendapati semua pengunjung dan peniaga mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dengan baik.

“Sejak hari ketiga Ramadan, memang sudah diperketatkan (SOP), walaupun terdapat bantahan daripada pengunjung.

“Bagaimanapun, masalah itu berjaya diatasi dan keadaan bazar Ramadan di sekitar bandaraya Ipoh adalah dalam keadaan terkawal .

“Setakat ini, tiada kompaun dikeluarkan memandangkan pengunjung mematuhi peraturan yang ditetapkan dan menerima nasihat dengan baik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke Bazar Ramadan Medan Gopeng di sini, petang tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis MBI Sungai Rapat (Zon 21), Abu Bakar Hussain dan Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP).

Pada lawatan itu turut diadakan perasmian sambutan bazar Ramadan berkenaan yang mencecah usia 35 tahun serta penyerahan bubur lambuk, pelitup muka dan apron kepada 60 peniaga di situ.