IPOH- Bayaran cukai  taksiran penggal pertama yang tamat pada 28 Februari lalu akan dilanjutkan sehingga 30 April 2021 ini.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin berkata mana-mana pemilik pegangan yang masih belum menjelaskan bil cukai taksiran bagi penggal pertama tahun 2021 adalah digesa supaya menjelaskan bil tersebut bagi mengelakkan kenaan Notis E kelak.

“Bagi pemilik-pemilik pegangan yang mempunyai tunggakan cukai taksiran termasuklah yang gagal mematuhi perjanjian bayaran ansuran yang telah dipersetujui, dikehendaki supaya menjelaskan tunggakan tersebut dengan kadar segera.

“Pihak Majlis mengalu-alukan kehadiran pemilik-pemilik pegangan bermasalah dalam pembayaran tunggakan bil cukai taksiran untuk hadir ke Majlis kerana ruang perbincangan dalam bentuk rundingan sentiasa terbuka dengan menawarkan bayaran secara ansuran mengikut kemampuan pemilik pegangan,” katanya menerusi teks ucapan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan April, 2021 di Dewan Mesyuarat MBI, di sini hari ini.

“Saya berharap agar wargakota Ipoh lebih serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai demi kepentingan dan kesejahteraan bersama. Pemilik pegangan boleh memberi kerjasama untuk mengemaskinikan alamat e-mel dan nombor telefon terkini melalui pautan http://emelcukai.mbi.gov.my

Tarikh akhir bayaran bil cukai taksiran bagi penggal ke-2 pula ialah pada 31 Ogos 2021 namun dilanjutkan selama dua bulan sehingga 31 Oktober 2021.