IPOH - Tiada lagi kejutan si Ayah buat anak-anaknya untuk membeli pakaian baharu pada perayaan Aidilfitri tahun ini.

Masih segar dalam ingatan Muhammad Fazrul Quezry Puat, 12, sewaktu bapanya membawa mereka sekeluarga membeli belah pakaian raya pada tahun lalu. 

Muhammad Fazrul memilih baju Melayu berwarna biru tua dan itulah pakaian raya terakhir yang dibeli oleh bapanya sebelum meninggal dunia secara mengejut selepas menunaikan solat Subuh pada 12 Februari tahun ini. 

Anak bongsu daripada sembilan adik beradik itu berkata, kenangan indah bersama bapanya akan terpahat dalam ingatan sampai bila-bila. 

"Tahun ini kami sekeluarga amat sedih kerana beraya tanpa ayah. Selalunya, ayah yang akan beli baju dan buat surprise," katanya dalam nada sebak.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sapi, Lenggong itu ditemui di Program Ceria Syawal Yayasan Perak Bersama Anak Yatim di Gedung Tekstil Jakel, di sini, hari ini. 

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Mohd Tarmizi Idris.

Muhammad Fazrul mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Perak kerana sudi memilihnya untuk menerima bantuan pakaian raya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Perak kerana bantuan ini sangat bermakna buat saya dan keluarga," ujarnya  yang memilih baju Melayu berwarna maroon untuk hari raya ini. 

Dia yang masih berdukacita di atas pemergian bapa tersayang itu, nekad akan membantu ibunya bersama adik beradik yang lain bagi mengurangkan beban mereka sekeluarga. 

“Mak menyara kami sekeluarga dengan membuat dan menjual kuih hadapan rumah, selain itu, kami juga ada menerima bantuan daripada Baitulmal,” katanya.

Sementara itu, Mohd Tarmizi berkata, Muhammad Fazrul adalah antara 50 orang anak yatim dan asnaf dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering, yang terpilih untuk menerima sumbangan pakaian raya. 

Beliau berkata, program tahun kedua Yayasan Perak ini bertujuan untuk membantu golongan kurang bernasib baik bagi mendapatkan keperluan Aidilfitri.

Katanya, mereka yang tinggal di 20 buah kampung sekitar Lenggong dan Gerik itu dipilih berdasarkan maklumat daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah serta pemimpin tempatan. 

"Mereka diberi kebebasan untuk memilih sendiri pakaian raya masing-masing yang bernilai RM100. Selain itu, mereka turut diberikan duit raya RM 50," katanya.