IPOH – Seramai 20 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Perak seperti ibu tunggal dan anggota yang mengalami masalah kesihatan menerima sumbangan bagi meringankan keperluan mereka menjelang Aidilfitri ini pada satu majlis ringkas di Mes Pegawai Kanan Polis di sini, semalam.

Turut disumbangkan ialah sebanyak 3,000 pek juadah untuk berbuka puasa yang diagih-agihkan kepada semua anggota polis negeri yang bertugas khususnya di pos-pos kawalan sekatan jalan raya (SJR).

Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sumbangan daripada pihak Persatuan India Muslim negeri Perak (PRIM) itu sangat dihargai khususnya menyantuni warga PDRM termasuk kakitangan awam.

Menurut beliau, Prim yang ahli-ahlinya dalam kalangan peniaga dan usahawan masyarakat India Muslim di negeri Perak  telah menunjukkan keprihatinan mereka untuk sama-sama melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Prim kerana sudi menganjurkan program ini yang sangat besar ertinya kepada warga PDRM.

“Ini juga merupakan salah satu pendekatan dalam mengeratkan hubungan antara PDRM dan masyarakat, dan saya harapkan usaha murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Agihan Juadah Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Warga PDRM Perak anjuran Prim.

Hadir sama Pengerusi PRIM, Mohamad Arib Aliah dan Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Sementara itu wakil PRIM, Datuk Ghulam Rasool Nadra Khan dalam ucapannya berkata, pemberian sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada program CSR persatuan itu untuk menyantuni masyarakat.

“Tahun lalu kita tidak dapat menganjurkan program sumbangan disebabkan sekatan kerana Covid-19, jadi pada tahun ini kita meneruskan dengan menyantuni warga PDRM yang juga merupakan barisan hadapan negara,” ujarnya.