IPOH – Beberapa buah rumah penduduk yang menjadi mangsa ribut di Kampung Tasek, Bercham di sini telah pun siap dibaik pulih sepertimana yang diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad semasa mengadakan lawatan ke kawasan itu pada awal April lalu.

Proses membaik pulih ini termasuk bantuan gantian alang dan bumbung rumah baharu yang melibatkan kerosakan-kerosakan besar kepada rumah penduduk akibat diterbangkan angin kuat.

Keadaan ini sangat melegakan penduduk apatah lagi dalam keadaan semasa Ramadan dan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma tidak berapa lama lagi.

Susulan lawatan Saarani, pada 19 April, pihak Pejabat Daerah Tanah Kinta telah mengeluarkan permohonan kelulusan khas laksana kerja secara lantikan terus daripada Pegawai Kewangan Negeri.

Sebanyak empat syarikat kontraktor telah dilantik bagi memudahkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan melibatkan kira-kira 135 penduduk yang terjejas iaitu tambahan lapan unit rumah daripada bilangan asal 127 kediaman.

Susulan lantikan tersebut, kerja-kerja proses baik pulih dimulakan pada 25 April manakala sehingga pada 28 April hampir sebahagian rumah yang terjejas telah pun dibaiki.

Sebelum ini, Menteri Besar semasa melakukan lawatan ke kawasan yang terjejas mengumumkan bantuan kerajaan negeri membaiki 127 rumah rosak akibat ribut yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri Perak menerusi peruntukan khas sebanyak RM200,000.

Penilaian terhadap kerosakan akan dilakukan oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta bagi

mengenal pasti jenis kerosakan mankala bantuan itu akan disalurkan melalui Yayasan Perak untuk membaiki kerosakan sepenuhnya.