IPOH – Walaupun bantuan yang disampaikan kecil, tetapi bagi golongan kurang berkemampuan ia sangat tidak ternilai tambahan pula dalam keadaan sukar ketika ini berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sebab itu, ada antara penerima yang terdiri daripada 500 keluarga golongan B40 di Flat Ashby, Kampung Kepayan dan Kampung Tase ini mengucapkan rasa syukur semasa menerima sumbangan daripada pihak Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak.

Ketuanya, Low Guo Nan berkata, bantuan yang disampaikan itu adalah barang-barang keperluan harian berupa beras, tepung, gula dan kurma kepada penduduk kurang berkemampuan termasuk warga emas.

Beliau yang juga Naib Ketua Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Kebangsaan memberitahu, agihan itu dilakukan sebagai tanda prihatin selain ingin mengurangkan beban kewangan yang mereka hadapi khususnya dalam kalangan penerima beragama Islam yang sedang berpuasa di bulan Ramadan.

“Ramai yang terkesan ketika ini disebabkan pandemik Covid-19 termasuk ada yang terjejas sumber pendapatan menyebabkan lahirnya kumpulan miskin baru.

“Golongan ini memerlukan perhatian kerajaan, selain ada anak-anak tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menziarahi ibu bapa yang sudah tua. Semua itu memerlukan kesabaran dan kerjasama masyarakat,” ujarnya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau bersama para sukarelawan menyampaikan sumbangan kepada keluarga B40 di Flat Ashby bermula pukul 2.30 petang dan berakhir sejam kemudian.