IPOH – Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Munir Ishak dilantik sebagai Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berkuat kuasa 15 April lalu.

Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Zuraina Kamarul Ariff yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut.

Dilahirkan pada 28 Jun 1975 di Ipoh, Perak, beliau adalah Setiausaha Bandaraya ke-13 yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Ahmad Munir memulakan kerjayanya sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Analisa Ekonomi dan Antarabangsa, Kementerian Kewangan pada 2001.

Seterusnya, beliau berkhidmat di beberapa kementerian lain antaranya Penolong Setiausaha di Bahagian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pada tahun 2015, Ahmad Munir mula berkhidmat di Perak sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak dan tiga tahun kemudian, beliau menyandang jawatan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Selepas itu, mulai 2018, beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah Kuala Kangsar di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar sebelum bertugas sebagai sebagai Setiausaha Bandaraya MBI, di sini.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sekalung tahniah di atas pelantikan tersebut dan diharap beliau dapat membantu dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pembangunan MBI agar menjadi salah satu PBT terbaik di negara ini.