IPOH-Keceriaan jelas terpancar di wajah 40 orang anak-anak yatim dan miskin dalam majlis berbuka puasa anjuran Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) yang diadakan di Hotel MH, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed berkata, golongan kurang bernasib baik ini perlu diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela.

"Anak-anak yatim dan miskin adalah golongan kurang bernasib baik yang sentiasa diraikan terutamanya pada bulan Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri.

"Justeru, Digital Perak mengambil inisiatif menganjurkan program seumpama ini yang bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat malah secara tidak langsung mengeratkan hubungan ukhwah antara satu sama lain.

"Selain itu, sekalung tahniah dan terima kasih di atas sokongan rakan-rakan usahasama pelaksana telekomunikasi (deployment partner) Negeri Perak yang bekerjasama untuk menjayakan majlis ini.

"Diharapkan kerjasama ini akan berterusan dari semasa ke semasa supaya bantuan dapat disalurkan kepada komuniti yang memerlukan,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan duit raya dan goodies bag kepada semua anak-anak yatim pada majlis tersebut.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Perak, Zairul Nahar  Zakaria serta wakil-wakil deployment partner.

Kesemua anak-anak yatim itu terdiri daripada Pertubuhan Rumah Anak Yatim Nurkasih Al-Harraz, Taman Lapangan Perdana dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh, Kuala Pari.

Pada majlis yang sama, Khairul Shahril turut menyampaikan sumbangan kepada pengamal-pengamal media negeri Perak.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang telah banyak membuat liputan terhadap program-program anjuran Digital Perak dan diharap kerjasama tersebut akan berkekalan," ujarnya