IPOH – Walau pun beraya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tidak bermakna kemeriahan menyambut Syawal dipinggirkan.

Selain ketupat dan lemang, menyambut lebaran ini tidak lengkap sekiranya tiada pelita panjut untuk menerangi suasana malam raya seperti mana di desa.

Bercakap tentang pelita tradisional ini, seorang pemuda, Mudzafar Irfan, 23, kini bergelar usahawan panjut buluh apabila tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan sejak awal bulan puasa.

Dia yang mulanya menghasilkan pelita panjut secara suka-suka kini menjadi sumber pendapatan di Kampung Pengkalan Pegoh, Lahat di sini.

Pemuda lulusan Diploma Teknologi Pembuatan Kolej Vokasional (KV) Temerloh, Pahang ini mahir menghasilkan panjut buluh di Dr dengan mempelajarinya daripada orang-orang lama di kampung.

Menurut Mudzafar, dia mula serius menghasilkan panjut buluh dan memasarkannya menerusi pelbagai platform media digital menggunakan nama Panjut Buluh Tok Pa itu sebagai pendapatan untuk menyara datuk dan opah yang uzur.

Katanya, permintaan daripada pelanggan sangat menggalakkan dan sehingga kini kira-kira 700 batang panjut buluh pelbagai saiz terjual kepada pembeli termasuk di luar Perak khususnya di Selangor dan Pulau Pinang.

“Panjut Buluh Tok Pa ini dibuat menggunakan buluh keras yang bekalannya dibeli daripada penduduk di Kampung Ulu Kuang, Chemor dan ada yang diperolehi daripada masyarakat Orang Asli.

“Kita menghasilkan tiga jenis panjut buluh iaitu dengan empat sumbu hingga 12 sumbu yang dijual pada harga RM18 hingga RM22 sebatang dengan kaki pelita juga menggunakan buluh,” ujarnya semasa ditemui baru-baru ini.

Bukan sahaja mempunyai nilai estetika, malah memasang panjut buluh dapat menimbulkan keceriaan menyambut Aidilfitri sepertimana di kampung halaman pada masa dahulu.

Selain Mudzafar, perniagaan Panjut Buluh Tok Pa ini turut dibantu tiga lagi rakan yang juga lepasan Pusat Giat Mara untuk menghasilkan kira-kira 100 batang panjut sehari.

Kemahiran Mudzafar menghasilkan panjut buluh turut menarik perhatian Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh apabila menempah untuk diedarkan kepada lebih 30 keluarga di Kampung Pengkalan Pegoh bagi menceriakan sambutan Aidilfitri.

Mudzafar yang merupakan penerima Anugerah Perintis Keusahawanan Koperasi 2017 semasa menuntut di KV Temerloh juga menghasilkan lain-lain produk berasaskan buluh serta tempahan pelbagai jenis ketukangan.

Bagi mereka yang ingin menempah panjut buluh boleh menghubungi pemuda ini menerusi WhatsApp ditalian 018-3669450.