IPOH – Dalam usaha untuk mengekang penularan gelombang baharu wabak Covid-19, sudah tentunya keselamatan para petugas barisan hadapan seperti polis dan agensi keselamatan lain perlu dijaga, maka semua pihak perlu sama-sama berganding bahu membantu mengikut kemampuan masing-masing.

Atas rasa tanggungjawab tersebut, entiti korporat iaitu Ipoh International Convention Centre (IICC), Sycal Berhad dan Bond Suites menyumbangkan kira-kira 3,000 pelitup muka kepada anggota polis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Ipoh khususnya di daerah Kinta.

Sumbangan ini juga sebagai tanda sokongan kepada usaha petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban demi memastikan wabak ini dapat dikawal dengan sebaiknya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin semasa hadir pada majlis penerimaan sumbangan tersebut memuji keprihatianan pihak korporat berkenaan atas rasa tanggungjawab terhadap petugas barisan hadapan termasuklah penguat kuasa MBI yang terbabit.


“Sumbangan ini sangat besar ertinya tambahan pula sempena Ramadan selain pada masa sama membantu mengurangkan beban kos bagi pembelian pelitup muka.


“Saya amat mengalukan kerjasama daripada semua pihak termasuk syarikat korporat untuk menyalurkan sumbangan seperti ini di mana ia juga memberi sokongan moral kepada para petugas di lapangan,” ujarnya.