TAIPING -  Usaha pembiakan burung Hud-Hud akhirnya membuahkan kejayaan apabila tiga ekor anak burung itu terbang keluar dari sarang minggu lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, kejayaan ini mencatatkan satu lagi sejarah pembiakan spisis burung yang melibatkan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Jabatan Zoo, Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan beberapa ahli dari Taiping Birding Community.

“Program pemerhatian burung Hud-Hud fasa pertama bermula sewaktu burung ini bersarang dan membiak di Taman Tasik Taiping pada 5 April hingga 17 Mei lalu.

“Pemantauan dilaksanakan secara harian dalam tempoh 24 jam yang mebabitkan kakitangan Bahagian Korporat, Perhubungan Awam dan Pelancongan (MPT), kakitangan Zoo Taiping, pelajar-pelajar latihan industri serta sukarelawan.

“Pihak petugas masih meneruskan kerja-kerja pemantauan bagi melaksanakan fasa kedua yang melibatkan proses pemantauan aktiviti keluarga burung Hud-Hud di lapangan dan juga pengambilan data-data teknikal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.



MPT juga akan melaksanakan fasa ketiga iaitu penulisan laporan teknikal serta pendokumentasian data yang dijangka akan mengambil masa dua bulan dan akan diketuai Pengarah Zoo Taiping and Night Safari (ZTNS), Dr Kevin Lazarus bersama NEST.

Pasangan burung Hud-Hud menggunakan lubang yang terdapat pada pokok Jemerlang @ Batai Laut, di Taman Tasik Taiping sebagai sarang penetasan.

Ketinggian sarang dari paras tanah ialah 3.6 meter dan garis pusat lubang sarang ialah kira-kira 12-14 sentimeter (sm) dan kedalaman lubang sarang ialah 59.3 sm. Kedalaman itu cukup untuk memuatkan seekor Hud-Hud betina dewasa bersama tiga ekor anak.

Jarak pasangan burung Hud-Hud ini mencari makanan ialah antara 10 meter (m) hingga 192 m dari sarang.

Khairul Amir mengucapkan tahniah serta terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam projek pembiakan burung Hud-Hud.

“Pengalaman selama lebih 40 hari bersama keluarga Hud-Hud ini memberi pengalaman baru dan bermanfaat kepada kita disamping dapat membantu memeriahkan ekopelancongan di daerah ini,” ujarnya.