IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) cakna dalam memastikan golongan kurang bernasib baik di sekitar bandaraya ini tidak dipinggirkan dan sentiasa terbela.

Justeru, MBI menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al-Harraz bagi membantu pihak pengurusan di rumah kebajikan di berkenaan.

Sumbangan itu disampaikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud kepada Pengurus rumah kebajikan tersebut, Norizan Razali, di Taman Cempaka, hari ini.

Sementara itu, Norizan mengucapkan terima kasih kepada MBI dan Datuk Bandar Ipoh yang sering tampil menghulurkan bantuan kepada mereka dari semasa ke semasa.

"Saya serta penghuni di rumah ini ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada MBI terutamanya Datuk Rumaizi atas segala bantuan yang diberikan.

"Datuk Rumaizi dan MBI sentiasa peka dan segera hadir menghulurkan bantuan di saat kami memerlukan," katanya.

Dia bersyukur kerana setakat ini mereka tidak putus-putus menerima pelbagai jenis bantuan daripada pelbagai pihak.

Selain itu, Norizan yang lebih mesra dengan panggilan Abi turut menjalankan perniagaan katering untuk menjana pendapatan.

"Melalui perniagaan katering itu, sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan untuk rumah kebajikan itu," jelasnya.

Bagaimanapun, Norizan memaklumkan mereka memerlukan kenderaan yang lebih besar bagi memudahkan penghuni rumah itu bergerak sekaligus dari satu tempat ke tempat lain.

"Sekarang kami hanya menggunakan kenderaan jenis Proton Exora dan kapasitinya terhad. Oleh itu, kami berharap ada pihak yang sudi menyumbang kenderaan lebih sesuai supaya kami dapat bergerak dengan mudah serta menjimatkan masa," ujarnya.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan kepada Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al-Harraz boleh menghubungi Norizan (Abi) di talian 013-507 4905.