IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad serta seluruh anggota pentadbiran kerajaan negeri menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan warga kerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena sambutan Hari Ulang Tahun Bandar raya Ipoh yang ke-33 hari ini.

Beliau menyampaikan ucapan tersebut melalui laman sosial Facebook @saaranimohamadofficial. 
Menurutnya, bandaraya Ipoh sentiasa diingati kerana mempunyai sejarah dan identitinya yang tersendiri. 
 
"Bermula dari sebuah perkampungan kecil di tebing Sungai Kinta, bandar yang diapit oleh Banjaran Titiwangsa di sebelah timur dan Gunung Keledang di sebelah barat ini telah merentasi zaman yang penuh warna.
 
"Justeru, saya mendoakan usaha kerajaan untuk menjadikan Ipoh sebagai bandaraya pintar dan maju menjelang 2030 akan sentiasa dipermudahkan.
 
"Kepada Datuk Bandar dan seluruh warga MBI, terima kasih atas segala kerja keras untuk membangunkan Ipoh serta merencana demi kesejahteraan hidup lebih 780,000 penghuninya," katanya melalui hantaran tersebut.