IPOH – Operasi perniagaan gerai makan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol bagi kedua-dua arah utara dan selatan masih dibuka bermula jam 8 pagi hingga 8 malam untuk pembelian makanan dan minuman secara bungkusan.

Bagaimanapun makan di premis R&R masih tidak dibenarkan.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid berkata, kawasan R&R Gunung Semanggol dibuka untuk kemudahan pengguna yang melakukan perjalanan di lebuh raya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan.

Katanya, ia susulan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bagan Serai, Kerian mulai hari ini sehingga 9 Jun nanti.

“Justeru, pengguna lebuh raya diingatkan untuk terus mematuhi SOP keselamatan Covid-19.

“Dengan semangat #KitaJagaKita, kami berharap anda semua dapat mendaftar bagi mendapatkan Vaksin Covid-19, demi melindungi diri sendiri dan semua pihak yang berada di sekeliling kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, semua premis makanan dan minuman di lain-lain lokasi R&R di sepanjang Lebuhraya PLUS juga dibuka dan beroperasi mulai jam 8 pagi hingga 8 malam untuk pembelian makanan dan minuman secara bungkusan sahaja.

Walau bagaimanapun, semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai waktu operasi kemudahan di lebuh raya kami, sila layari laman web PLUS di www.plus.com.my dan/atau menerusi laman media sosial Facebook dan Instagram PLUS Malaysia atau twitter@plus2u