IPOH – Bagi meringankan beban kewangan kepada peniaga-peniaga kecil, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran sewa selama satu bulan pada Jun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud mengumumkan perkara tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei 2021 di Dewan Mesyuarat MBI, hari ini.

Menurutnya, MBI amat mengambil berat akan ekonomi peniaga-peniaga kecil yang terkesan berikutan kekangan pergerakan warga kota bagi merancakkan aktiviti perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di Daerah Kinta.

“Justeru, pihak majlis dengan sukacitanya memberi pengecualian satu bulan bayaran sewa kepada peniaga-peniaga di Pasar Besar Ipoh dan Medan-Medan Selera di bawah urus selia majlis bagi bulan Jun.

“Pengecualian ini akan membabitkan lebih 1,000 peniaga dengan anggaran peruntukan kira-kira RM50,000.

“Di samping itu, MBI akan meneruskan program-program di bawah agenda MBI Prihatin seperti yang telah dirancang sebelum ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi turut memaklumkan sepanjang tempoh PKPD, kaunter bayaran hanya akan beroperasi pada Selasa dan Rabu mulai jam 9 pagi hingga 2 petang.

“Kaunter bayaran ini akan beroperasi di Kaunter We Serve bagi memudahkan pembayaran bagi perkhidmatan yang disediakan oleh Kaunter OSC MBI.

“Walau bagaimanapun, wargakota masih boleh dan digalakkan untuk membuat pembayaran bil-bil melalui atas talian iaitu pembayaran melalui perbankan internet bank-bank tempatan yang telah dilantik sebagai ejen kutipan MBI.

“Selain itu, bayaran juga boleh dibuat melalui laman sesawang bank-bank tempatan melalui perkhidmatan JomPAY, laman sesawang MBI dengan menggunakan  perkhidmatan FPX dan laman sesawang PBTPay (www.pbtpay.kpkt.gov.my),” jelasnya.

Berikutan itu, beliau berharap supaya penduduk di bandaraya Ipoh dapat mengamalkan norma-norma baharu bagi bersama-sama membendung penularan wabak covid 19 ini.