IPOH – Keunikan bandaraya Ipoh sebagai bandar pelancongan warisan diperkasakan menerusi cadangan Pembangunan Kinta Riverwalk yang dijangka dapat meningkatkan lagi kehadiran pelancong tempatan dan luar ke bandaraya Ipoh.

Pada masa sama, inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ini juga akan melahirkan peluang perniagaan baru bagi peniaga kecil serta menjana ekonomi peniaga-peniaga sediada di kawasan ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, cadangan Pembangunan Kinta Riverwalk adalah kesinambungan Ipoh Heritage Trail yang telah dibangunkan sebelum ini bagi mewujudkan tarikan pelancongan di pusat bandaraya atau lebih tepat lagi dikenali Segitiga Pelancongan Bandaraya Ipoh.

Menurutnya, cadangan pembangunan ini akan menjadi pelengkap kepada perancangan kawasan pelancongan Pekan Lama berdasarkan kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) - Bandar Warisan Bijih Timah 2020 dan Rancangan Tempatan Ipoh (2035 perubahan) iaitu di pesisir Sungai Kinta.

“Projek ini dibahagikan kepada tiga lokasi iaitu dihadapan Hotel Kinta Riverfront bermula dari Jambatan Jalan Raja Musa Aziz sehingga Jambatan Jalan Lim Bo Seng sepanjang 1,600 meter yang dibiayai melalui peruntukan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebanyak RM3 juta.

“Seterusnya berdekatan Restoran Hadramout bermula dari Jambatan Lim Boo Seng sehingga ke Jambatan Jalan Sultan Idris Shah sepanjang 195 meter yang dibiayai melalui peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM500,000.

“Akhir sekali berdekatan kawasan Pekan Lama bermula dari Jambatan Jalan Sultan Idris Shah sehingga ke Lorong Hale sepanjang 280 meter yang dibiayai melalui peruntukan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM500,000,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei di Dewan Mesyuarat MBI di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak, pengarah-pengarah kanan MBI dan ketua-ketua jabatan.

Ketika ini kerja-kerja menaiktaraf telah siap dilaksanakan di hadapan Hotel Riverfront oleh pihak NCIA manakala kerja menaiktaraf berdekatan Restoran Hadramout pula dijangkan siap pada bulan Jun.

Fasa berikutnya pula dijangka dilaksanakan pada bulan Julai di kawasan berdekatan Pekan Lama dan dijangka siap pada bulan Disember tahun ini.

Manakala cadangan pembinaan struktur amphitheatre di Taman Dr Seenivasagam pula dijangka siap pada bulan Mac 2022.

Dalam pada itu, Rumaizi memberitahu bahawa bagi projek cadangan pembinaan struktur teduhan di Gerbang Malam, proses pelantikan kontraktor telah pun selesai dan kerja-kerja pembinaan akan bermula pada bulan Jun nanti dengan kos RM2.8 juta yang dijangka siap pada bulan November.

Selain itu katanya, kawasan Gerbang Malam ini juga akan menerima tambahan kerja pembinaan melalui kerja-kerja menaiktaraf Medan Selera Dato' Tahwil Azar yang lebih dikenali sebagai Taman Kanak-Kanak (TKK).

“Kerja penambahbaikan medan selera ini akan melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM750,000 di bawah peruntukan KPKT yang mana kerjanya juga akan bermula pada bulan Jun dan dijangka siap pada Oktober.

“Ia melibatkan kerja-kerja menaiktaraf bumbung dan mengecat bangunan,” ujarnya.