HARI ini masuk minggu kedua Perak melalui Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)  dan juga hari kedua bagi pelaksanaan pergerakan sekatan penuh atau ‘total lockdown’ yang dilaksanakan di seluruh negara.

Bandaraya Ipoh yang selama ini terkenal dengan pelbagai aktiviti harian terutamanya dalam sektor ekonomi, kini semakin suram kesan daripada PKPD dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung sekarang.

Pengusaha-pengusaha dari pelbagai sektor terpaksa akur dengan arahan PKP oleh kerajaan bagi menyekat penularan virus pandemik Covid-19 iaitu musuh halimunan diibaratkan umpama ‘pembunuh senyap’ yang tidak pernah leka mengejar mangsa.

Concubine Lane atau kini lebih dikenali sebagai Lorong Panglima adalah lorong deretan rumah warisan imigran Cina sejak 1892 kini sepi umpana lorong-lorong selepas tentera Israil membedil Semenanjung Gaza.

Tiada lagi aktiviti perniagaan, kunjungan pelancong yang berswafoto dan hilai tawa  anak-anak muda bersantai di kafe sambil menikmati makanan hipster!

Mahu atau tidak kita harus menerima impak di atas apa yang sedang kita lalui.

Impak paling ketara  yang berlaku adalah ke atas industri pelancongan contohnya aktiviti perniagaan dalam industri berkaitan seperti penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman, seni dan budaya dan penganjuran acara-acara perniagaan terhenti seumpama terkejut dari mimpi ngeri.

Sememangnya kita juga akur pemulihan ekonomi pasca perintah berkurung akan mengambil masa lama untuk kembali mencatatkan pertumbuhan positif.

Sekiranya kita ingin melihat momentum positif kebangkitan semula ekonomi selepas pendemik ini, pemulihan ekonomi bergantung pada semua pihak yang saling berkaitan secara dinamik, demi kebaikan sosial dan ekonomi negara.

Sebenarnya tiada jalan pintas untuk ekonomi negara pulih semula, namun kita harus yakin pihak kerajaan secara proaktif telah mengambil banyak inisiatif untuk merangsang dan meningkatkan semula ekonomi terutamanya dalam sektor swasta.

Sebagai warga negara, kita bertanggungjawab untuk memberi sokongan dan kerjasama berterusan dalam meneruskan misi Kerajaan Malaysia memerangi pandemik Covid-19 sehingga berjaya.

Bersama-sama kita menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semua jawapan ada di minda separuh sedar kita. Kemenangan ada ditangan kita sendiri. Kita mampu merubah jika minda kita berkata boleh!