IPOH – Pembantu Penguatkuasa wanita yang tular atas keberaniannya menangkap anak ular sawa batik berhampiran Arena Tenis Perak pada 27 Mei lalu, menerima penghargaan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), hari ini.

Difahamkan, kawasan berhampiran penemuan reptilia itu sibuk dengan kenderaan memandangkan ia adalah lokasi untuk orang ramai menjalani ujian calitan Covid-19.

MBI amat kagum dengan tindakan berani Noor Arifah Mohamad Yusop, 30, yang prihatin dalam memastikan keselamatan orang awam dengan membantu menangkap ular tersebut dan secara tidak langsung mengelak kemalangan daripada berlaku.

Sehubungan itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berbesar hati menyampaikan sijil penghargaan kepada Noor Arifah kerana menjalankan tanggungjawab dengan baik dan komited sebagai penjawat awam.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak; Pengarah Khidmat Pengurusan, Zulkifle Jaafar Sidek dan Pengarah Pelesenan Penguatkuasaan Bandaraya , Ahmad Zaiyadi Sudin.

Sebelum ini Peraktastic melaporkan hantaran video yang memaparkan tindakan berani wanita tersebut menangkap anak ular sawa batik dengan hanya menggunakan tangan berjaya meraih 1.3 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam selepas dimuat naik di aplikasi TikTok.

Video berdurasi 14 saat itu mendapat lebih 73,000 tanda suka dan 1,793 komen sejak dimuat naik pada Jumaat.

Aksi wanita itu dirakam rakannya Ahmad Azraei pada pagi Khamis lalu sebelum dimuat naik ke akaun TikTok @azra311.

Untuk membaca berita sebelum ini, klik pautan di berikut, http://peraktastic.com/p1/index.php/topik/personaliti-selebriti-menu-2/733-tindakan-berani-pembantu-penguatkuasa-wanita-mbi-tangkap-ular-raih-1-3-juta-tontonan-di-tiktok.html .