IPOH – Bandaraya Ipoh cukup sinonim dengan keunikan gua batu kapur serta kedudukan topografi yang strategik di tengah-tengah Semenanjung Malaysia layak dinobatkan sebagai ikon pelancongan kepada kawasan Lembah Kinta.

Beberapa penemuan arkeologi  sejak zaman prasejarah menjadi bukti kepentingan Lembah Kinta dalam pensejarahan negara.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, bagaimanapun warisan Lembah Kinta ini berhadapan dengan cabaran tersendiri apabila muncul isu pencerobohan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga mengancam kelestarian gua batu kapur tersebut.

Menurutnya, selain isu itu, terdapat beberapa cabaran lain yang amat kritikal sehingga mengancam gua batu kapur di tersebut antaranya seperti proses luluhawa, isu keselamatan dan pemantauan serta perbuatan vandalisme.

“Justeru, semua pihak sama ada agensi kerajaan pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam harus berganding bahu bekerjasama dalam menangani cabaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian secara maya sempena forum/webinar International Cave and Karst Day (Hari Antarabangsa Gua dan Kars) 2021 bertajuk Khazanah Ipoh: Penerokaan, Pemahaman dan Perlindungan, di Bilik Mesyuarat Anggerik, tingkat 10 bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata, MBI sedia bekerjasama dengan Jabatan Mineral Geologi dan Sains (JMG) bagi mengenalpasti lebih banyak kawasan seperti Gunung Masoorat untuk dibangunkan sebagai aktiviti baru untuk geo ekonomi dan eko pelancongan.

Katanya, Geopark Lembah Kinta mempunyai 18 geotapak yang tidak terletak di dalam kawasan aktiviti pengkuarian di Zon Ekonomi Industri Asas Mineral atau Batuan serta tidak dikacau ganggu oleh aktiviti berkenaan.

“Berikutan itu, MBI bercadang untuk menyediakan satu laporan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bukit Batu Kapur yang terperinci berkaitan dengan mengetengahkan beberapa perkara antaranya

mengenalpasti nilai sokongan hidup, ancaman dan keperluan untuk kelestarian.

“Pada masa sama, kita akan mengkaji kesan pembangunan kawasan sekitar ke atas kawasan bukit batu kapur serta potensi kawasan kepada sektor eko pelancongan dan penyelidikan atau pembangunan.

“Seterusnya, kita akan menjalankan analisis keupayaan tampungan atau impak alam sekitar terhadap kawasan berkenaan,” jelasnya.

Forum/Webinar yang berlangsung selama dua jam itu turut disertai empat panel pembentang iaitu

Pensyarah Kanan, Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr Ros Fatihah Muhammad; Pakar Paleontologi Vertabrata, Zooarkeologi dan Mammalogi, Lim Tze Tshen; Pensyarah, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti Dan Acara, Universiti Utara Malaysia merangkap  Pengerusi, Biro Pelancongan Kembara, Majlis Pelancongan Malaysia, Mohamad Khairi Alwi dan  Penyelidik Dan Calon Phd, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia, Saw Chaw Yeh.

Selain itu, empat panel khas turut dijemput pada sesi tersebut membabitkan Selebriti Dan Aktivis Kelestarian Alam, Maya Karin; Setiausaha Persatuan Jurupandu Geopark Perak, Mohd Amir Othman; Jurucakap, Kumpulan Pemerhati Lembah Kinta, Vivien Lian dan Pengasas Ventrex Outdoors Mohd Fadly Noor.