IPOH  - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) komited dalam memastikan kebajikan penduduk di bandaraya ini yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terjaga.

Berikutan itu, sebanyak 200 pek makanan disumbangkan kepada penduduk di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah melalui program MBI Prihatin yang turut mendapat kerjasama Pasaraya Econsave Jelapang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud menyampaikan sumbangan tersebut kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah Kinta (Pembangunan), Mohd Noor Azam Ismail di Bilik Gerakan PKPD di sini, hari ini, sebelum diagihkan kepada penduduk yang terjejas.

Beliau berharap, bantuan pek makanan yang disumbangkan itu dapat meringankan beban penduduk di kawasan berkenaan.

PKPD di tiga lokaliti berkenaan berkuat kuasa selama 14 hari bermula 6 Jun sehingga 19 Jun ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk keluar dari lokaliti.